BEIJING – Angkasawan Pakistan, Muhammad Zeeshan Ali mencipta sejarah apabila menjadi rakyat pertama negara itu memasuki orbit dan warga asing pertama menjejakkan kaki di Stesen Angkasa Tiangong milik China.Ali, 40, menyertai dua angkasawan China, Tang Hongbo dan Wu Yi di bawah misi Shenzhou-24 yang dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan pada Rabu.Kapal angkasa tersebut berlepas menggunakan roket Long March-2F sebelum berjaya berlabuh dengan Tiangong kira-kira tiga jam 38 minit kemudian.Ketiga-tiga kru kemudiannya memasuki stesen angkasa tersebut dan menyertai tiga angkasawan misi Shenzhou-23 yang sudah berada di orbit.Pencapaian itu turut menandakan kali pertama China menghantar angkasawan asing ke Stesen Angkasa Tiangong, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjasama angkasa antara Beijing dan Islamabad.Bekas juruterbang Tentera Udara Pakistan itu berperanan sebagai pakar muatan dan akan menjalankan eksperimen saintifik sepanjang berada di orbit.Beliau dijangka berada di Tiangong selama kira-kira lima hingga 10 hari sebelum kembali ke bumi bersama angkasawan misi Shenzhou-23. Menurut Agensi Angkasa Berawak China (CMSA), empat projek kerjasama China-Pakistan dalam bidang bioteknologi dan bahan akan dijalankan di bawah misi itu.Ali turut dijadualkan menjalankan eksperimen dalam orbit berkaitan sianobakteria fotosintetik selain membantu pemasangan sampel dan peralatan eksperimen.Sebelum menyertai misi bersejarah itu, Ali menjalani latihan selama tujuh bulan di Beijing termasuk latihan berkaitan operasi kapal angkasa dan stesen angkasa, prosedur kecemasan serta mempelajari bahasa Mandarin.”Saya bukan terbang untuk diri sendiri. Saya membawa nama Pakistan di bahu saya,” katanya.Namun, Ali bukan rakyat Pakistan pertama yang pernah ke angkasa memandangkan Namira Salim, rakan senegaranya terlebih dahulu mencipta pencapaian itu menerusi penerbangan suborbit bersama Virgin Galactic pada Oktober 2023.Bagi Pakistan, kejayaan itu menjadi pencapaian penting dalam aspirasi negara tersebut memperkukuh keupayaan sains dan teknologi angkasa. – Agensi
Angkasawan Pakistan cipta sejarah
Malay News | https://www.malay.news/angkasawan-pakistan-cipta-sejarah/