ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan kandungan bakteria dan bahan kimia tercemar dalam produk air minuman yang diusahakan sebuah premis di Yan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan semalam.
Baca juga: Syabu 3 Tan Bernilai RM70 Juta Diseludup Melalui Dua Pangkalan TUDM Sejak Dua Tahun
Dalam kenyataan JKN, premis berkenaan beroperasi tanpa lesen sah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengambil air minuman atau air mineral semula jadi daripada sumber air bagi tujuan perniagaan.
Katanya, pemeriksaan turut mendapati premis itu tidak mempunyai lesen perniagaan daripada Majlis Daerah Yan (MDY) serta lesen pengabstrakan air daripada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).
“Operasi penguatkuasaan membabitkan 80 anggota daripada pelbagai agensi termasuk JKN Kedah, Pejabat Kesihatan Daerah Yan, MDY, LSANK dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Hasil pemantauan mendapati sampel air daripada sumber telaga dan air yang sudah dibotolkan mengandungi bahan tercemar yang boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan pengguna,” menurut kenyataan itu.
JKN Kedah berkata, dalam operasi itu, satu notis dikeluarkan mengikut Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 atas kesalahan menjual air minuman berbungkus tanpa lesen, dengan nilai kompaun RM3,500.
Selain itu, katanya produk dan perkakasan turut disita mengikut Seksyen 4(1)(f), Akta Makanan 1983 dengan nilai rampasan RM14,241.10.
“MDY turut mengeluarkan kompaun RM300 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen.
“Manakala LSANK pula mengeluarkan notis arahan pemberhentian serta-merta aktiviti pengabstrakan air kerana dilakukan tanpa lesen sah,” jelas kenyataan itu.
JKN Kedah menasihatkan pengguna supaya sentiasa membaca label dan memastikan produk Air Minuman Berbungkus (AMB) atau Air Mineral Semula Jadi (AMS) mempunyai nombor kelulusan lesen KKM yang sah sebelum membuat pembelian.
Pihaknya menegaskan pematuhan terhadap keperluan pelesenan sumber air penting bagi memastikan produk air minuman yang berada di pasaran selamat diminum dan tidak mendatangkan risiko kesihatan kepada pengguna.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan penjualan produk makanan yang melanggar Akta Makanan 1983 boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau menyalurkannya menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM di http://moh.spab.gov.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd