SHAH ALAM – Golongan huffaz berpotensi menjadi penggerak pembangunan negara menerusi penguasaan pelbagai bidang ilmu termasuk pendidikan, teknologi, ekonomi dan profesional tanpa mengetepikan identiti serta penguasaan ilmu al-Quran.Felo Madani 2026, Muhammad Nizamuddin Azmi, berkata kedudukan huffaz dalam masyarakat tidak seharusnya terbatas kepada peranan menghafaz dan memelihara ayat-ayat suci al-Quran, sebaliknya perlu diperluas sebagai penyebar ilmu, pendidik dan pemimpin masyarakat.Menurutnya, penguasaan al-Quran yang disertai kefahaman, penghayatan dan pengamalan nilai-nilainya dapat menjadi asas pembentukan masyarakat yang menjunjung keadilan, amanah, ihsan dan tanggungjawab sosial.”Kepentingan memperkasa golongan itu turut dapat dilihat menerusi penganjuran Himpunan Huffaz pada tahun ini yang merupakan kesinambungan daripada program sama tahun lalu di Bagan Datuk dengan penyertaan sekitar 26,000 orang huffaz.”Himpunan berskala besar itu bukan sekadar menjadi platform penyatuan ummah, malah berperanan mengeratkan ukhuwah Islamiah, memartabatkan ilmu al-Quran serta memperkukuh gerakan dakwah yang berteraskan kebijaksanaan dan hikmah,” katanya.Tambahnya, pertemuan ribuan huffaz itu juga sewajarnya dilihat sebagai manifestasi potensi besar institusi tahfiz dalam membangunkan modal insan yang bukan sahaja memelihara kesucian al-Quran, tetapi turut berupaya menyumbang kepada pembentukan masyarakat berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab terhadap pembangunan negara.Muhammad Nizamuddin berkata, sejarah kegemilangan tamadun Islam memperlihatkan bahawa kemajuan sesebuah peradaban tidak pernah terbatas kepada penguasaan ilmu agama semata-mata, bahkan turut berkembang melalui penerokaan pelbagai disiplin ilmu.Beliau memaklumkan bahawa tokoh seperti Ibn Sina, al-Ghazali dan al-Khawarizmi memperlihatkan keluasan tradisi intelektual Islam yang merangkumi bidang perubatan, falsafah, matematik, astronomi dan pemikiran.Dalam pada itu, beliau berkata, pengiktirafan dan pemerkasaan institusi tahfiz perlu diberikan perhatian secara menyeluruh dalam usaha membangunkan generasi huffaz berkualiti.Sebagai contoh, menurutnya, pelaksanaan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) merupakan antara langkah penting bagi memastikan institusi tahfiz mempunyai standard kualiti dan tadbir urus yang lebih tersusun.”Usaha memperkenalkan pendekatan Pra-Tahfiz di Tabika KEMAS di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut memperlihatkan kepentingan memupuk kecintaan terhadap al-Quran sejak peringkat awal kanak-kanak,” tambahnya.Beliau berkata, usaha memperluas peluang pendidikan tinggi kepada golongan huffaz melalui Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dengan pengembangan TVET Tahfiz membuka dimensi baharu dalam pembangunan modal insan negara.”Menerusi pendekatan itu, golongan huffaz berpeluang mengembangkan potensi dalam bidang teknikal dan profesional tanpa perlu mengetepikan identiti serta penguasaan ilmu al-Quran,” katanya.Justeru, beliau berkata, usaha memperkasa golongan huffaz perlu disertai perancangan menyeluruh dan berterusan meliputi penyelarasan kurikulum, pengiktirafan kelayakan akademik, peningkatan kualiti tenaga pengajar serta peluasan kerjasama antara institusi tahfiz dengan universiti dan pihak industri.
Huffaz berpotensi jadi penggerak pembangunan negara
Malay News | https://www.malay.news/huffaz-berpotensi-jadi-penggerak-pembangunan-negara/