LATEST

Dua Nyawa: Orang tak boikot, InsyaAllah – Jazmy Juma

Dua Nyawa: Orang tak boikot, InsyaAllah – Jazmy Juma

KUALA LUMPUR: Pelakon, Jazmy Juma tidak menganggap kontroversi yang tercetus dalam drama terbarunya, Dua Nyawa akan diboikot penonton.

Sebaliknya, Jazmy atau Jazmy Khan Juma Khan menyifatkan apa yang berlaku sebagai ketentuan Ilahi dan enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan memandangkan ia sudah melibatkan pihak polis.

Baca juga: Asyik pegang golok dan keris, Eman Manan berseloroh ‘terasa hati’

“Saya tak rasa orang boikot, insyaAllah. Saya rasa ini ketentuan Ilahi. Dia yang menentukan perjalanan ini dan apa yang berlaku sekarang.

“Itu sahaja yang boleh saya katakan. Mengenai perkara lain, saya tidak boleh ulas kerana sudah melibatkan pihak atasan,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Viu Original terbaharu, Wali Dalam Tangisan, semalam.

Ditanya sama ada terkilan apabila isu tersebut timbul selepas penggambaran selesai, pelakon itu memilih untuk tidak memberikan sebarang komen kerana tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku.

“Saya memang tidak boleh bercakap mengenai perkara ini sebab kita tidak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Jadi, saya tidak boleh nak cakap apa-apa,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon berusia 28 tahun itu meluahkan rasa syukur apabila rezekinya dalam bidang lakonan semakin mencurah-curah dengan beberapa drama lakonannya menjadi bualan penonton.

Katanya, setiap naskhah yang dijayakan bukan sahaja memberikan pengalaman baharu malah banyak mengubah cara dirinya berfikir.

“Saya gembira dapat menjayakan projek sebegini kerana banyak kebaikan dan pengajaran yang saya peroleh daripada setiap projek.

“Itu yang paling mahal buat saya kerana sedikit sebanyak setiap projek yang saya jayakan mengubah diri dan cara saya berfikir,” katanya.

Jazmy turut merakamkan penghargaan kepada penonton yang tidak putus-putus memberikan sokongan serta maklum balas terhadap karya lakonannya.

Untuk perkembangan lain, Jazmy bergandingan dengan Ezzanie Jasny dan Haidar Hasanudin menerusi drama Wali Dalam Tangisan yang sudah mula ditayangkan sejak 19 November lalu menerusi platform Viu. – UTUSAN 

The post Dua Nyawa: Orang tak boikot, InsyaAllah – Jazmy Juma appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news