syafil.syazwan@hmetro.com.my
Baca juga: Enggan berdendam, Julia Farhana titip ucapan penghargaan buat bekas suami
Kuala Lumpur: Pelakon veteran, Datuk Eman Manan secara berseloroh mengakui kadang kala ‘terasa hati’ apabila sering diberikan watak orang kampung berbanding tampil bergaya sambil memandu kereta mewah.
Bagaimanapun, pelakon berusia 68 tahun itu menyifatkan perasaan berkenaan hanyalah gurauan semata-mata dan tidak pernah menyimpannya dalam hati.
Menurutnya, dia sebaliknya percaya jiwanya lebih sebati dengan naskhah berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat Melayu yang memegang senjata tradisional seperti golok, parang dan keris
“Kadang-kadang saya ‘marah’ juga penerbit dan pengarah ini. Kalau saya saja, dia bagi golok, keris dan cangkul, sedangkan pelakon lain dia bagi kereta besar, kereta sport, Porsche dan Ferrari.
“Apalah aku ini dengan golok, parang, keris dan lembing dalam sawah serta sungai. Kadang-kadang terasa hati juga, tapi rasa terasa hati itu macam itu saja, tidak marah.
“Saya orang kampung dan membesar di sawah padi serta dengan sampan, golok, parang, keris dan gelanggang. Saya rasa jiwa saya lebih ke situ dan lebih dekat dengan penonton kita orang Melayu,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Eman, dia sebenarnya berasa agak gementar sekiranya ditawarkan watak lelaki kaya atau bergaya kerana bimbang tidak dapat membawakan perwatakan sedemikian dengan berkesan di layar perak.
“Kadang-kadang saya takut untuk bawa watak orang kaya atau watak orang kacak sebab bimbang saya nampak tidak kacak.
“Nanti kalau kita termenung tidak betul, orang kata ‘apa ini orang kaya termenung macam itu’. Jadi, letak saya di sawah, bukit, hutan atau sungai dan bagi keris, itu okeylah. Tapi bila saya tengok wajah sendiri, rasanya kacak juga,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Eman kembali membawakan watak antagonis sebagai Raja Iskandar menerusi filem aksi terbaharu, Takluk 2: Op Daulat yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd