LATEST

Akta Jerebu Rentas Sempadan: Beban pembuktian, diplomasi jadi cabaran

Akta Jerebu Rentas Sempadan: Beban pembuktian, diplomasi jadi cabaran

Kuala Lumpur: Pelaksanaan undang-undang bagi menangani pencemaran jerebu rentas sempadan berdepan cabaran daripada segi penguatkuasaan terutama membabitkan pihak yang berada di luar bidang kuasa Malaysia.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata sebarang cadangan penggubalan undang-undang baharu perlu dinilai secara menyeluruh dari segi keberkesanan, kebolehkuatkuasaan, beban pembuktian, implikasi diplomatik serta keserasiannya dengan undang-undang sedia ada.

Baca juga: Iran sebat penyanyi tidak berhijab

“Bukti jelas bahawa jerebu merentas sempadan yang berlaku berpunca dari negara jiran perlu disokong oleh data-data yang mencukupi seperti peta lokasi, koordinat, maklumat pemilik tanah dan pihak yang beroperasi di lokasi kebakaran bagi membolehkan penguatkuasaan Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan dilaksanakan.

“Perkara ini membabitkan kerahsiaan maklumat, keselamatan dan kedaulatan negara yang menjadi punca jerebu,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Tan Hong Pin (PH-Bakri) meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan kesediaan kerajaan mengkaji semula keputusan terdahulu dan menggubal akta khusus berkaitan pencemaran jerebu rentas sempadan, termasuk mekanisme bagi memastikan individu atau syarikat Malaysia boleh dipertanggungjawabkan sekiranya operasi mereka di luar negara terbukti menyumbang kepada jerebu yang menjejaskan negara.

Arthur berkata, kerajaan memandang serius kejadian jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara di Malaysia dan sentiasa meneliti tindakan serta langkah proaktif yang boleh dilaksanakan, termasuk kebolehlaksanaan cadangan penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.

Beliau berkata kementerian sudah beberapa kali meneliti kewajaran penggubalan akta berkenaan daripada pelbagai sudut, termasuk kebolehlaksanaan undang-undang, hubungan diplomatik dengan negara serantau serta pelaksanaan akta seumpamanya oleh negara lain bagi memastikan tiada pembaziran sumber.

“Hasilnya, kementerian mendapati bahawa keberkesanan sesuatu undang-undang tidak hanya bergantung pada wujudnya peruntukan tetapi juga pada keupayaan untuk mendapatkan bukti, menjalankan siasatan dan menguatkuasakan akta terhadap pihak yang berada di luar bidang kuasa Malaysia,” katanya.

Arthur berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sudah meneliti dakwaan pembabitan syarikat Malaysia yang mempunyai pemilikan, pelaburan atau hubungan operasi dengan kejadian kebakaran di Republik Indonesia.

“Berdasarkan penelitian setakat ini, tiada bukti kukuh yang mengesahkan pembabitan syarikat perladangan berkaitan Malaysia sebagai pihak yang menyebabkan kebakaran berkenaan,” katanya.

Mengenai mekanisme bagi memastikan kebertanggungjawaban industri atau syarikat yang terbabit, Arthur berkata, Second ASEAN Haze-Free Roadmap (2023-2030) di bawah kerangka Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution – AATHP) menyediakan pendekatan yang boleh dilaksanakan negara anggota ASEAN di peringkat nasional.

Beliau berkata Strategi 6.5 di bawah Monitoring and Evaluation (M&E) Framework for the Second ASEAN Haze-Free Roadmap (2023-2030) menggariskan secara khusus supaya negara anggota ASEAN menerima pakai dan melaksanakan dasar di peringkat nasional, termasuk prinsip ‘polluter-pays’ bagi memastikan pihak yang menyebabkan pencemaran dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang dan bidang kuasa negara berkenaan.

“Setiap negara anggota ASEAN bertanggungjawab melaksanakan komitmen di bawah AATHP melalui dasar, undang-undang dan mekanisme penguatkuasaan masing-masing.

“AATHP turut menekankan kepentingan pengukuhan dasar, undang-undang dan peraturan, kerjasama serta pertukaran maklumat yang berkaitan dengan penguatkuasaan.

“Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan kebakaran adalah tertakluk kepada bidang kuasa dan undang-undang domestik negara anggota ASEAN yang mana punca kebakaran dan jerebu berlaku,” katanya.

Mengulas langkah seterusnya, Arthur berkata, kerajaan mengambil serius pengalaman jerebu tahun ini dan akan menggunakan dapatan berkenaan sebagai input untuk menilai semula serta menambah baik pelaksanaan mekanisme sedia ada.

Beliau berkata pencemaran jerebu rentas sempadan memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dan tidak boleh diselesaikan hanya melalui penggubalan undang-undang.

“Tindakan segera yang perlu dilaksanakan pada ketika ini adalah memperkukuh pelaksanaan undang-undang domestik bagi mengekang pembakaran terbuka oleh setiap negara anggota ASEAN, meningkatkan perkongsian maklumat dan kerjasama penguatkuasaan antara negara serta memastikan komitmen di bawah AATHP dilaksanakan sepenuhnya secara serius.

“Perkara ini akan disuarakan oleh Malaysia dalam mesyuarat berkaitan jerebu merentas sempadan di bawah AATHP yang akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news