LATEST

Pengarah syarikat rugi RM128,700 ditipu tawaran tender Kolej Vokasional tidak wujud

Pengarah syarikat rugi RM128,700 ditipu tawaran tender Kolej Vokasional tidak wujud

am@hmetro.com.my

Baca juga: Haaland teruja berentap dengan Gabriel dalam aksi ‘blockbuster’

Kuala Terengganu: Pengarah syarikat kerugian RM128,700 dipercayai menjadi mangsa penipuan tawaran tender pembekalan meja dan kerusi kantin jenis keluli tahan karat di sebuah Kolej Vokasional.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata mangsa berusia awal 30-an membuat laporan polis kira-kira jam 5.45 petang semalam selepas menyedari tawaran tender berkenaan tidak wujud.

Beliau berkata penipuan itu dipercayai bermula Isnin lalu apabila mangsa dimaklumkan oleh rakan sekerjanya mengenai peluang tender membekalkan meja dan kerusi kantin jenis keluli tahan karat kepada kolej berkenaan.

Katanya, mangsa bersetuju menerima tawaran berkenaan kononnya dikendalikan seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Ismail Jusoh dan mendakwa bertugas sebagai pegawai kolej berkenaan.

“Mangsa seterusnya berhubung dengan seorang pembekal dikenali sebagai ‘Mr Leong’ melalui panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp bagi membincangkan urusan pembekalan itu.

“Hasil rundingan, mangsa membuat tiga transaksi antara 24 dan 25 November lalu berjumlah RM128,700 ke satu akaun bank atas nama sebuah syarikat sebagai bayaran deposit 40 peratus daripada nilai keseluruhan tender sebanyak RM242,000,” katanya.

Azli berkata, mangsa bagaimanapun mula mengesyaki dirinya ditipu selepas membuat semakan dengan pihak pengurusan kolej.

Beliau berkata mangsa yang bertemu penolong pengarah kolej berkenaan dimaklumkan bahawa individu yang menggunakan nama Ismail Jusoh itu tidak wujud dalam rekod institusi berkenaan.

Katanya, selepas mendapat pengesahan itu, mangsa menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan dengan jumlah kerugian keseluruhan RM128,700.

Beliau berkata, mangsa menggunakan wang milik syarikatnya dalam urusan pembayaran berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news