Intipati berita
- PATAMI Media Digital melonjak 192% kepada RM5.08 juta bagi Q3 FY2026 berbanding RM1.74 juta pada tahun sebelumnya.
- Hasil kumpulan meningkat 69% kepada RM42.80 juta, manakala PATAMI terlaras naik 98% kepada RM8.31 juta.
- Tiga ekspo utama berjaya mencatat pertumbuhan positif, iaitu Agri Malaysia, MBAM OneBuild dan MIFB dengan hasil segmen meningkat 90% kepada RM13.20 juta.
- Catcha Digital kini mempunyai lapan pengambilalihan dengan pegangan tunai RM31.70 juta. Kumpulan turut menjangkakan prestasi kewangan 2026 lebih kukuh berbanding 2025.
Syarikat Catcha Digital Berhad terus menunjukkan prestasi kewangan memberangsangkan apabila mencatatkan rekod keuntungan tertinggi setakat ini bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (Q3 FY2026).
Baca juga: Produk luar negara di platform e-dagang perlu ada persijilan kualiti
Lebih menarik, segmen Media Digital kumpulan itu merekodkan peningkatan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti terlaras (PATAMI) sebanyak 192 peratus kepada RM5.08 juta berbanding RM1.74 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Hasil Catcha Digital meningkat 69 peratus

Menerusi keputusan kewangan tidak diaudit bagi suku berakhir 30 September 2026, Catcha Digital mencatatkan hasil sebanyak RM42.80 juta, meningkat 69 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Kumpulan itu turut merekodkan EBITDA terlaras sebanyak RM14.65 juta, meningkat 103 peratus, manakala PATAMI terlaras naik 98 peratus kepada RM8.31 juta.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 pula, hasil kumpulan meningkat 90 peratus kepada RM90.49 juta berbanding RM47.68 juta pada tahun lalu.
EBITDA terlaras turut meningkat 94 peratus kepada RM23.33 juta, manakala PATAMI terlaras naik 61 peratus kepada RM11.95 juta.
Media Digital terus jadi penyumbang utama keuntungan

Antara pencapaian paling ketara adalah daripada segmen Media Digital yang kekal menjadi penyumbang utama keuntungan kumpulan.
Segmen berkenaan merekodkan hasil RM28.97 juta, meningkat 63 peratus berbanding RM17.81 juta pada suku sama tahun lalu.
Peningkatan keuntungan itu didorong oleh pertumbuhan pengiklanan berasaskan pengalaman serta hasil pengiklanan digital yang lebih tinggi.
Tiga ekspo utama turut catat pertumbuhan positif

Dalam perkembangan sama, segmen Ekspo B2B turut menunjukkan prestasi positif selepas berjaya menganjurkan ketiga-tiga ekspo utama kumpulan pada suku ketiga.
Ekspo terbabit ialah Agri Malaysia, MBAM OneBuild dan Malaysian International Food and Beverage Exhibition (MIFB).
Segmen itu mencatatkan hasil RM13.20 juta, meningkat 90 peratus berbanding RM6.94 juta pada tahun sebelumnya.
Malah, PATAMI terlaras turut meningkat 27 peratus kepada RM4.06 juta.
Sasaran prestasi 2026 lebih kukuh berbanding tahun lalu

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Catcha Digital, Eric Tan berkata, prestasi suku ketiga merupakan pencapaian terbesar kumpulan setakat ini dari segi hasil dan keuntungan.
Beliau turut menjelaskan bahawa kumpulan itu mengambil inspirasi daripada Berkshire Hathaway untuk membina sebuah platform yang menjadi tempat kekal kepada syarikat peneraju pasaran di Asia Tenggara.
Strategi tersebut dilaksanakan menerusi pengambilalihan syarikat berpotensi, kerjasama dengan pengasas bagi mengembangkan perniagaan serta pelaburan semula aliran tunai untuk pengambilalihan seterusnya.
Sementara itu, Pengerusi Catcha Digital, Patrick Grove berkata, kumpulan kini mempunyai lapan pengambilalihan yang menyumbang kepada perniagaan dalam tiga segmen utama.
Beliau turut menjangkakan prestasi kewangan tahun penuh 2026 akan lebih kukuh berbanding 2025.
Mempunyai tunai RM31.70 juta

Untuk rekod, Catcha Digital telah melengkapkan lapan pengambilalihan sejak 2025, termasuk syarikat dalam bidang media digital, penganjuran ekspo B2B dan penyelesaian teknologi maklumat.
Dari segi kedudukan kewangan, kumpulan mempunyai tunai dan kesetaraan tunai sebanyak RM31.70 juta setakat 30 September 2026, berbanding pinjaman bank sebanyak RM12.29 juta.
Pada harga penutup saham RM0.23 pada 23 November 2026, saham Catcha Digital didagangkan pada kira-kira lapan kali keuntungan terlaras bagi tempoh 12 bulan terdahulu.
The post Prestasi Luar Biasa! Catcha Digital Catat Untung RM8.31 Juta Pada Suku Ketiga 2026 appeared first on Oh! Media.