LATEST
National

Produk luar negara di platform e-dagang perlu ada persijilan kualiti

Produk luar negara di platform e-dagang perlu ada persijilan kualiti

KUALA LUMPUR: Produk luar negara yang dijual secara dalam talian menerusi platform e-dagang perlu mempunyai persijilan kualiti ditetapkan sebelum dipasarkan kepada pengguna tempatan.

Baca juga: Harga minyak sawit dijangka kekal lebih RM4,100 satu tan bulan depan – MPOC

Ia bagi membendung kebanjiran barangan import, khususnya barangan elektrik yang tidak mempunyai persijilan kualiti, sekali gus membahayakan pengguna.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata barangan memasuki pasaran negara mesti mematuhi standard Malaysia dan antarabangsa, seperti mana keperluan kawal selia ketat dikenakan ke atas produk keluaran tempatan.

“Rakyat bayar tetapi standard tiada. Barang baru dua tiga bulan digunakan sudah rosak.

“Walaupun pada awalnya nampak seperti berbaloi dengan harga yang dibayar (value for money), hakikatnya produk itu tidak tahan lama,” katanya pada sidang media sempena Majlis SIRIM Industri 2026 di sini, hari ini.

Johari berkata, ketiadaan kawalan ketat terhadap kemasukan barangan menerusi e-dagang menyebabkan banyak produk dijual pada harga murah, namun tidak berkualiti.

Beliau berkata, selain menjejaskan hak pengguna, produk yang tidak mempunyai persijilan sah juga dikhuatiri boleh mendatangkan risiko keselamatan dan berbahaya kepada orang ramai.

Sehubungan itu, katanya, perbincangan sudah diadakan bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mencari mekanisme kawalan terbaik ke atas operasi platform e-dagang.

Beliau berkata, tindakan sewajarnya menerusi MCMC akan dipertimbangkan terhadap mana-mana platform e-dagang yang gagal mematuhi atau mengambil maklum mengenai ketetapan standard kualiti berkenaan.

“Penguatkuasaan syarat persijilan terhadap produk luar negara juga bertujuan mewujudkan persaingan yang adil kepada pengilang serta pengeluar tempatan.

“Pengeluar dalam negara perlu menanggung kos untuk mendapatkan persijilan bagi memastikan produk mereka berkualiti dan operasi mereka diiktiraf.

“Sebaliknya, produk dari luar masuk tanpa perlu membayar kos ini, sebab itu harganya kelihatan jauh lebih murah,” katanya.

Johari berkata, walaupun kerajaan menggalakkan pembelian secara dalam talian, kerjasama rentas kementerian akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap barangan yang sampai ke tangan pengguna mematuhi piawaian ditetapkan.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada SIRIM QAS International atas kejayaannya menjadi Badan Pensijilan Kebangsaan pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menerima akreditasi bagi Keperluan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) AS9110 untuk Organisasi Penyelenggaraan Penerbangan.

Beliau menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pencapaian penting bagi ekosistem aeroangkasa negara, yang secara tidak langsung dapat memperkukuh keupayaan penilaian pematuhan domestik serta memudahkan akses pensijilan bertaraf antarabangsa kepada syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) tempatan.

Katanya, walaupun Malaysia mengukuhkan kedudukan sebagai pemain serantau yang berdaya saing dalam perkhidmatan MRO, ruang luas masih terbuka untuk industri tempatan berkembang, melangkaui penyelenggaraan pesawat konvensional kepada aktiviti bernilai tinggi, seperti pembaikan enjin dan komponen.

“Cita-cita kita mestilah melangkaui usaha menarik pemain aeroangkasa global yang sedia ada ke negara ini.

“Kita mesti membangunkan ekosistem syarikat Malaysia yang keupayaannya menjadikan mereka rakan kongsi yang diperlukan dalam rantaian bekalan aeroangkasa global,” katanya.

Johari juga berharap peranan SIRIM diperkasakan sebagai rakan strategik transformasi perindustrian negara selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) .

Katanya, ia bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan melangkah ke rantaian nilai yang lebih tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news