LATEST

Keluarga jadi alasan Ara Johari terus bertahan dalam industri seni

Keluarga jadi alasan Ara Johari terus bertahan dalam industri seni

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Baca juga: Kerajaan kaji penubuhan dana kekayaan AI untuk rakyat Malaysia – PM

DI sebalik perwatakan ceria dan sering menampilkan imej ‘kuat’, penyanyi Ara Johari mengakui dia pernah melalui fasa sukar sepanjang 10 tahun bergelar anak seni sehingga terdetik untuk berputus asa.

Menurut Ara, sepanjang satu dekad berada dalam industri muzik tempatan, dia sentiasa menyembunyikan kesedihan mahupun sisi lemahnya daripada pengetahuan umum.

Bagaimanapun, emosi yang dipendam akhirnya terluah apabila dia gagal menahan sebak sewaktu mendendangkan lagu Belum Siap Kehilangan pada persembahan solo eksklusifnya, Sedekad Bersuara, baru-baru ini.

“Selama ini saya tak pernah tunjuk sisi lemah atau menangis di atas pentas, tetapi hari itu semuanya terkeluar.

“Apabila menyanyikan lagu itu, saya teringat kembali memori 10 tahun lalu ketika masih merangkak dan tiada apa-apa dalam industri,” katanya.

Tidak menafikan keletihan bekerja ada kalanya membuatkan dia mahu berhenti, Ara berkata, rasa tanggungjawab terhadap keluarga dan dorongan bapanya menjadi penguat semangat untuk dia terus bangkit.

“Semua orang pernah rasa mahu berputus asa apabila terlalu penat. Namun, saya fikirkan keluarga yang perlu diberi makan dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan.

“Ayah yang paksa saya masuk Akademi Fantasia dulu juga sentiasa berpesan supaya tak menghiraukan kecaman dan fokus memberikan yang terbaik,” katanya.

Mengulas mengenai Sedekad Bersuara, Ara memilih tema berwarna putih sebagai simbolik kesucian dan permulaan kariernya daripada kosong sehingga berjaya menempa nama hari ini.

Persembahan istimewa yang dirancang sejak tahun lalu itu dikendalikan oleh pasukan kecil yang hanya dianggotai tiga orang utama termasuk pengurusnya.

Katanya, cabaran paling memenatkan sepanjang persiapan adalah sesi latihan tarian selama 12 jam sehari memandangkan dia bukan seorang penari.

Pada persembahan itu, Ara menghiburkan peminat dengan deretan lagu popular dan istimewa termasuk Paku, medley Racun Hati dan Tetap Aku Cinta, Sudah, Terlalu Bodoh dan Warkah Untukku.

Selain itu, Ara turut menyampaikan lagu Rindu, Sumpahan Salju, Belum Siap Kehilangan, Keliru, Kisah Yang Hampir Sempurna, Menjaga Jodoh Orang Lain serta Bunga.

Dalam perkembangan lain, penyanyi yang sinonim dengan lagu-lagu galau itu memaklumkan dia bakal tampil dengan karya baharu yang memiliki sisi muzik sedikit berbeza dan lebih gelap, selain tidak menolak kemungkinan untuk kembali merakamkan lagu berkonsepkan era 90-an.

Sementara itu, mengulas penyertaannya dalam program Gegar Vaganza Fantasia, Ara mengakui terkejut dan tidak bersedia kerana menerima perkhabaran itu pada saat akhir sebelum naik ke pentas.

“Walaupun agak gementar kerana bakal bersaing dengan barisan penyanyi senior yang jauh lebih berpengalaman, saya anggap ini sebagai satu proses pembelajaran.

“Saya tak kisah menerima kritikan juri kerana ia penting untuk memperbaiki mutu nyanyian demi memastikan karier saya mampu bertahan sehingga dua dekad akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news