sukan@hmetro.com.my
Baca juga: PM setuju cadangan pendidikan kesihatan mental di sekolah
Kuching: Phnom Penh Crown FC tidak datang sekadar melengkapkan jadual apabila berdepan Kuching City FC bagi aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, esok, sebaliknya turut memburu kemenangan.
Ketua jurulatih Phnom Penh Crown FC, Oleg Starynskyi berkata, pasukannya menghormati kekuatan Kuching City yang disifatkan sebagai pasukan berpengalaman dengan barisan pemain berkualiti.
Menurutnya, prestasi konsisten Kuching City dalam saingan domestik termasuk aksi menentang Selangor FC membuktikan kemampuan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu memberikan cabaran sengit.
Beliau turut melihat perkembangan positif Kuching City sejak awal musim, terutama dari segi peningkatan prestasi dan kepantasan permainan.
“Kami tahu Kuching City adalah pasukan yang sangat berpengalaman dan mempunyai ramai pemain berkualiti.
“Mereka menunjukkan prestasi yang baik dalam saingan Malaysia, termasuk perlawanan terakhir menentang Selangor. Saya melihat mereka banyak meningkat sejak awal musim dan menjangkakan perlawanan yang sangat sukar,” katanya.
Bagaimanapun, Oleg menegaskan Phnom Penh Crown hadir dengan keyakinan tinggi serta sasaran jelas untuk membawa pulang tiga mata.
Katanya, kedua-dua pasukan perlu tampil dengan mentaliti kemenangan bagi memastikan perlawanan berlangsung kompetitif.
“Sudah tentu kami menjangkakan kemenangan. Kami tidak datang ke sini untuk tujuan lain.
“Kami yakin dengan kemampuan pasukan sendiri dan akan memberikan yang terbaik untuk mendapatkan tiga mata,” katanya.
Pertembungan kedua-dua pasukan dijangka berlangsung sengit, dengan Kuching City berusaha menebus kekalahan terdahulu manakala Phnom Penh Crown mahu meneruskan momentum positif dalam kempen ACL2.
© New Straits Times Press (M) Bhd