LATEST
National

AS cadang kenakan tarif tambahan 18 peratus terhadap barangan Malaysia

AS cadang kenakan tarif tambahan 18 peratus terhadap barangan Malaysia

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) mencadangkan pengenaan tarif tambahan sehingga 18 peratus terhadap barangan Malaysia selepas mendapati dasar perindustrian dan amalan pembuatan negara ini menyumbang kepada lebihan kapasiti struktur serta pengeluaran yang didakwa Washington membebankan atau menyekat perdagangan AS.

Baca juga: Didik murid guna AI secara beretika, kemahiran asas tetap keutamaan

Malaysia adalah antara 14 ekonomi yang berdepan cadangan pengenaan tarif di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, dengan kadar tarif yang dicadangkan antara 15 hingga 35 peratus.

Ekonomi lain yang terbabit termasuk China, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU).

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, berkata hasil siasatan mendapati strategi perindustrian tertentu yang dilaksanakan rakan dagang negara itu telah mewujudkan persaingan tidak seimbang kepada pengeluar Amerika.

“Selama beberapa dekad, banyak rakan dagang kita melaksanakan strategi perindustrian yang menyasarkan sektor pembuatan, menekan gaji dan tenaga kerja, menyediakan sokongan kewangan serta bentuk bantuan lain, menggunakan input daripada ekonomi bukan pasaran dan mengamalkan pendekatan lain yang memesongkan pasaran.

“Amalan ini menyebabkan imbangan perdagangan memihak kepada mereka, sekali gus melemahkan asas sektor pembuatan Amerika,” katanya.

Dapatan Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) terhadap Malaysia tertumpu kepada empat aspek, iaitu pelan perindustrian dan sektoral untuk mengembangkan sektor pembuatan serta eksport, pembiayaan keutamaan menerusi program dana nasional, tindakan tidak mencukupi bagi menangani lebihan kapasiti yang dikaitkan dengan import dan pelaburan asing dari ekonomi bukan pasaran, serta perlindungan tenaga kerja yang tidak memadai.

Laporan itu mengenal pasti sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta automotif sebagai industri yang menjadi perhatian khusus, dengan alasan dasar berkenaan berpotensi mengurangkan peluang komersial bagi pengeluar dan pengeksport AS di Malaysia serta pasaran lain.

Di bawah cadangan itu, tarif sehingga 18 peratus akan dikenakan terhadap barangan Malaysia, sebagai tambahan kepada duti sedia ada jika berkenaan, tertakluk kepada pengecualian bagi produk tertentu.

Mengenai Malaysia, USTR berkata kadar tarif yang dicadangkan sehingga 18 peratus itu adalah selepas mengambil kira tarif sedia ada di bawah Seksyen 301, dengan pengecualian diberikan kepada barangan tertentu.

Cadangan berkenaan mengambil kira duti sedia ada di bawah Seksyen 301 dan 232, rundingan yang sedang berlangsung dengan Malaysia serta komitmen di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas AS-Malaysia.

Bagaimanapun, USTR turut mencadangkan supaya tarif sehingga 25 peratus, selepas mengambil kira tarif sedia ada di bawah Seksyen 301, dipertimbangkan sekiranya pihaknya mendapati rundingan yang sedang berlangsung dan komitmen di bawah perjanjian perdagangan timbal balik itu tidak memuaskan.

Greer berkata, tindakan yang dicadangkan itu bertujuan menangani amalan perdagangan tidak adil seperti yang dilihat Washington serta memperkukuh daya saing pengeluar Amerika.

“Sehubungan itu, sejak 2016, pemimpin termasuk Donald Trump, Joe Biden, Xi Jinping dan Emmanuel Macron mengakui ancaman yang ditimbulkan oleh lebihan kapasiti struktur dan pengeluaran terhadap ekonomi global,” katanya

.Sementara itu, USTR mengakui pendirian Malaysia bahawa negara ini mengamalkan rejim perdagangan berasaskan peraturan dan tidak menyumbang kepada lebihan kapasiti struktur, dengan kerajaan menegaskan ekosistem pembuatan negara penting kepada rantaian bekalan global dan AS.

Malaysia turut berhujah bahawa model ekonominya berasaskan pasaran dan bertindak balas terhadap permintaan global, manakala eksport negara saling melengkapi, bukannya bersaing dengan pengeluaran domestik AS.

Siasatan terhadap Malaysia dimulakan pada 11 Mac 2026, dengan USTR mengadakan rundingan dua hala bersama kerajaan Malaysia pada 12 Mei lalu.

Bagaimanapun, menurut notis berkenaan, perbincangan itu gagal menyelesaikan kebimbangan Washington.

Pihak berkepentingan diberi sehingga 5 Januari 2027 untuk mengemukakan ulasan bertulis dan permohonan menyertai sesi pendengaran awam yang dijadual bermula pada 25 Januari 2027 di Washington.

-BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news