LATEST
National

Didik murid guna AI secara beretika, kemahiran asas tetap keutamaan

Didik murid guna AI secara beretika, kemahiran asas tetap keutamaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) komited membimbing guru dan murid memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) secara beretika serta bertanggungjawab tanpa mengabaikan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira.

Baca juga: BERSATU umum tidak bertanding PRN Sarawak

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata pendedahan teknologi itu di sekolah bukan bertujuan menggalakkan pelajar bergantung kepada AI bagi menyiapkan semua tugasan sekolah, sebaliknya mendidik mereka mengenai batasan dan etika penggunaannya.

“Saya memahami kebimbangan ibu bapa dan guru-guru bahawa kebergantungan kepada teknologi ini boleh menyebabkan anak-anak malas membaca dan hilang daya kreativiti… kebimbangan itu wajar namun mendidik anak-anak tentang AI juga bermakna mendidik mereka tentang etika penggunaannya,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menerusi hantaran itu, Fadhlina memaklumkan beliau hari ini mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara “AI Temu AI”.

Beliau berkata menerusi peluncuran Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa 3.0) dan Panduan Literasi AI pada majlis berkenaan, KPM mahu memastikan warga pendidik serta murid berupaya memahami, selain mengaplikasikan teknologi terkini itu dengan selamat.

Beliau turut menyambut baik pengenalan “Cikgu ILMU” oleh YTL AI Labs dengan kerjasama Universiti Malaya, sambil menyifatkan sinergi antara kerajaan dan industri amat penting dalam memastikan teknologi yang dibangunkan menepati keperluan ekosistem pendidikan negara.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, budaya membaca dan pembentukan karakter murid perlu terus diperkukuh seiring kemajuan teknologi semasa.

“Saya juga percaya bahawa teknologi secanggih mana pun tidak akan dapat menggantikan sentuhan manusiawi seorang guru dalam mendidik anak-anak.

“Dalam mendepani zaman AI, tanggungjawab KPM adalah memastikan anak-anak kita tidak ketinggalan dalam menguasai teknologi tanpa mengorbankan perkara yang menjadi asas pendidikan mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news