norhayati_nordin@hmetro.com.my
Baca juga: Malaysia sedia bantu negara ASEAN, sokong misi bantuan luar rantau – Ahmad Zahid
Kuala Lumpur: Komposer dan penyanyi, Yasin Sulaiman mengesan kewujudan sebuah akaun palsu di Threads yang dilihat cuba menggunakan namanya, namun menukar huruf ‘i’ kepada ‘l’ untuk ejaan Sulaiman.
Yasin, 51, berkata ejaan namanya adalah Yasin Sulaiman, manakala akaun palsu individu terbabit ditulis sebagai Yasin Sulalman bagi mengelirukan warga maya.
“Ya, memang wujud satu akaun palsu yang menggunakan nama hampir serupa dengan saya di media sosial yang hanya menukar ejaan nama Sulaiman daripada huruf ‘i’ kepada ‘l’ bagi pendaftaran akaun.
“Saya pun faham kalau nak mendaftar akaun, tidak boleh dibuat menggunakan ejaan nama yang sama. Maka, individu terbabit mengguna inisiatif mengubah satu huruf pada ejaan nama Sulaiman menjadi ‘Sulalman’ sebagai cubaannya mendekati senarai pengikut saya.
“Bagaimanapun, kebanyakan peminat yang mengikuti media sosial saya bertindak pantas mengirim mesej bertanya kepada saya ama ada sudah membuka akaun baharu untuk mereka ‘follow’ selepas mengesan akaun palsu itu.
“Jadi, saya maklumkan bahawa akaun media sosial saya masih yang asal iaitu Yasin Sulaiman. Difahamkan kebanyakan pengikut saya turut membuat aduan terhadap akaun palsu itu sehingga ia dipadamkan oleh pihak berkaitan,” katanya.
Yasin berkata demikian ketika ditemui pada sidang media penganjuran Konsert Lagenda Nasyid Malaysia yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SACC), Shah Alam, Selangor pada 29 Mei 2027.
Ditanya bila dia menyedari kewujudan akaun palsu itu, penyanyi lagu Mimpi Laila ini mendakwa dia menerima banyak mesej langsung (DM) daripada pengikutnya meminta penjelasan berhubung akaun palsu itu, pagi tadi.
“Saya tahu mengenai akaun palsu yang baharu diwujudkan oleh seorang individu tidak dikenali, pada pagi hari ini. Terima kasih kepada pengikut yang peka bertanya menerusi DM dan mereka juga buat aduan ke atas akaun berkenaan.
“Saya juga mengambil tindakan memuat naik hantaran penjelasan di Threads bagi memberitahu semua pengikut bahawa akaun baharu itu adalah palsu, dan ada individu cuba menyamar menjadi saya,” katanya.
Sementara itu, Yasin turut dikaitkan memiliki wajah mirip vokalis utama kumpulan My Chemical Romance (MCR), Gerard Way menerusi satu hantaran di Threads menganggapnya sebagai gurauan lucu.
“Saya pun tidak tahu dekat mana ada irasnya sampai menjadi topik perbincangan di Threads. Saya berasa ia melucukan dan langsung tidak ambil hati pun kerana sekadar hiburan.
“Apa pun, saya sebenarnya tidak begitu mengikuti pun perkembangan atau lagu kumpulan muzik antarabangsa berkenaan. Jadi, tidak apalah kalau ada orang yang kata wajah saya seiras penyanyi itu.
“Tetapi, wajah saya dan dia (Gerard) memang berbeza. Untuk itu, saya juga sudah memuat naik satu hantaran di Threads bagi menjelaskanmya, dan bagi saya perbandingan dibuat sekadar gurauan sahaja,” katanya.
Untuk rekod, Konsert Lagenda Nasyid Malaysia membariskan kumpulan Brothers, Rabbani, Hijjaz, Raihan, Inteam, Saujana, UNIC, Nowseeheart dan Aeydan.
© New Straits Times Press (M) Bhd