am@hmetro.com.my
Baca juga: MBI Perlis, Blue Whale Properties teroka potensi pembangunan Hab Kuala Perlis
Kuala Lumpur: Dakwaan kertas peperiksaan Pendidikan Moral Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bocor yang tular di media sosial hari ini, didapati tidak menepati tafsiran kebocoran soalan.
Tafsiran itu berdasarkan kepada Dasar Pentaksiran Kebangsaan Edisi Ketiga Tahun 2023.
Lembaga Peperiksaan, berkata ia kerana semakan mendapati hantaran dikesan pada jam 11.44 pagi, iaitu selepas peperiksaan Pendidikan Moral tamat pada jam 10.45 pagi.
Lembaga itu menegaskan bahawa kertas peperiksaan Pendidikan Moral adalah dokumen terperingkat berstatus sulit.
Katanya, sebarang tindakan mengambil gambar, menyalin atau menyebarkan kandungan kertas peperiksaan tanpa kebenaran adalah suatu pelanggaran terhadap tatacara pengendalian dokumen terperingkat.
“Selain itu, ia boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, sebuah hantaran tular di media sosial yang mendakwa kebocoran kertas peperiksaan membabitkan subjek Pendidikan Moral dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Lembaga Peperiksaan berkata, siasatan lanjut dijalankan berhubung perkara itu, selain mempergiat pemantauan di pusat peperiksaan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Katanya, ia mengambil maklum dan memandang serius dakwaan berkenaan.
“Mana-mana pihak yang terkesan dengan hantaran berkenaan juga dialu-alukan membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Lembaga itu menggesa orang ramai tidak menyebarkan maklumat atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan calon, ibu bapa serta masyarakat.
Katanya, ia sentiasa komited memastikan integriti, kerahsiaan dan kredibiliti peperiksaan awam terus terpelihara serta kepentingan dan hak setiap calon sentiasa dilindungi.
© New Straits Times Press (M) Bhd