LATEST

Bas bawa 13 kakitangan KKM musnah dalam kebakaran

Bas bawa 13 kakitangan KKM musnah dalam kebakaran

SEREMBAN: Seramai 13 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui detik cemas apabila bas yang dinaiki mereka terbakar ketika melalui laluan selepas Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Senawang arah selatan, di sini kira-kira tengah hari tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata, kebakaran itu menyebabkan kira-kira 85 peratus bas berkenaan musnah.

Baca juga: Tak sempat raikan kejayaan bersama arwah bapa, Aqmal graduan ke-100,000 UniKL

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah bas milik KKM yang sedang marak terbakar di bahu jalan. Bas tersebut membawa 13 orang kakitangan KKM dan seorang pemandu bas yang kesemuanya berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, PGO berkata, operasi pemadaman dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang dengan bantuan BBP Seremban dan BBP Seremban 2.

“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 12.20 tengah hari sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.19 petang,” katanya.

Difahamkan, bas berkenaan dalam perjalanan membawa kakitangan KKM ke Melaka sebelum kejadian berlaku.

Menerusi perkongsian video yang tular oleh salah seorang kakitangan terbabit, bas itu merupakan bas gantian yang disediakan oleh Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Seremban selepas bas yang digunakan sebelum ini mengalami kerosakan.

Kakitangan berkenaan turut memaklumkan mereka sempat keluar dari bas dan menyelamatkan barangan masing-masing sebelum kebakaran merebak.

“Alhamdulillah sempat keluar dari bas, selamatkan barang-barang. Bas kedua kami. Sebelum ini, bas rosak, dan gantikan dengan bas dari ILKKM Seremban,” katanya.-UTUSAN.

The post Bas bawa 13 kakitangan KKM musnah dalam kebakaran appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news