LATEST

Tak sempat raikan kejayaan bersama arwah bapa, Aqmal graduan ke-100,000 UniKL

Tak sempat raikan kejayaan bersama arwah bapa, Aqmal graduan ke-100,000 UniKL

Kuala Lumpur: Kegembiraan Muhammad Aqmal Aref Omar bergelar graduan ke-100,000 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) hadir bersama rasa sebak apabila insan yang banyak berkorban demi pendidikannya, arwah bapa, tidak berpeluang menyaksikan kejayaan itu.

Aqmal, graduan Diploma Teknologi Kejuruteraan dalam Penyelenggaraan Pesawat dari UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT), berkata bapanya meninggal dunia tahun lalu sebelum sempat melihatnya menamatkan pengajian.

Baca juga: Bayi lima bulan disyaki diabaikan pengasuh alami sawan, cedera

Menurut Aqmal, arwah bapanya yang bekerja sebagai pemandu sentiasa memberikan sokongan penuh kepada dirinya dan adik-beradik lain untuk mendapatkan pendidikan.

“Bapa saya seorang pemandu. Dia dan mak memang kuat bekerja. Mereka memberikan komitmen sepenuhnya untuk menyokong saya, begitu juga kakak dan abang saya.

“Namun, arwah bapa meninggal dunia tahun lalu dan tidak sempat melihat saya bergraduasi. Jadi, perkara itu agak sukar bagi saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UniKL ke-23 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Tidak sangka dipilih sebagai graduan ke-100,000

Berkongsi mengenai pengiktirafan yang diterima, Aqmal berkata dia tidak pernah menyangka akan dipilih sebagai graduan ke-100,000 universiti berkenaan kerana hanya menjalani proses pengajian seperti biasa tanpa mengetahui mengenai pencapaian itu.

“Sejujurnya, saya memang tidak menjangkakannya. Saya hanya memohon dan mengikuti proses pengajian seperti biasa tanpa menyedari perkara itu.

“Apabila sudah bergraduasi dan dimaklumkan mengenai pengiktirafan ini, saya berasa sangat bersyukur,” katanya.

Terima tajaan ijazah, motosikal 

Lebih bermakna, kejayaan itu turut membuka peluang buat Aqmal untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda menerusi tajaan UniKL.

Dia juga menerima sebuah motosikal tajaan Kumpulan Pantai Bharu bagi membantunya sepanjang tempoh pengajian.

Aqmal berkata, pada awalnya dia tidak merancang untuk menyambung pelajaran berikutan kekangan kewangan, lebih-lebih lagi selepas kehilangan bapanya.

Bagaimanapun, peluang tajaan yang diterima mengubah perancangannya dan memberi ruang untuk dia meneruskan pengajian.

“Selepas mendengar saya mendapat tajaan untuk sambung belajar, memang saya akan teruskan pengajian.

“Sebelum ini, saya tidak terfikir untuk sambung belajar kerana memikirkan soal duit dan arwah bapa baru sahaja meninggal dunia. Tetapi apabila mendapat peluang ini, alhamdulillah, saya anggap ia sebagai rezeki,” katanya.

Sasar jadi mekanik pesawat bertauliah 

Mengulas perancangan masa depan, Aqmal berkata dia berhasrat menjadi mekanik pesawat bertauliah dengan pengkhususan dalam bidang enjin yang sememangnya diminatinya.

“Saya memang minat bahagian enjin. Jadi, sasaran saya adalah untuk menjadi mekanik pesawat bertauliah, khususnya dalam bidang itu,” katanya.

Untuk rekod, UniKL yang ditubuhkan pada 2002 meraikan seramai 8,147 graduan menerusi Majlis Konvokesyen ke-23 yang berlangsung dari 21 hingga 26 November ini.

Pencapaian Aqmal sebagai graduan ke-100,000 turut menjadi simbol perjalanan UniKL dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news