am@hmetro.com.my
Baca juga: Banjir di Terengganu pulih, PPS ditutup
Kuala Lumpur: Seorang bayi perempuan berusia lima bulan disyaki menjadi mangsa pengabaian selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika berada di rumah pengasuhnya.
Bayi itu kemudian dikejarkan ke hospital oleh ibunya sendiri bagi mendapatkan rawatan pada 14 November lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada jam 5.46 petang hari berkenaan.
“Bayi terbabit dibawa ibunya ke Jabatan Kecemasan HCTM selepas didapati tidak sedarkan diri ketika berada di rumah pengasuh.
“Mangsa mengalami sawan selain terdapat kesan lebam serta luka pada bahagian muka dan telinga,” katanya kepada media dalam satu kenyataan hari ini.
Fadil berkata, bayi berkenaan kini ditempatkan di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi pemantauan dan pemeriksaan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti kejadian sebenar yang menimpa mangsa.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan hantaran yang belum disahkan kerana boleh menjejaskan siasatan polis.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd