PUTRAJAYA: Biarpun digelar suami mithali atau ‘green forest’, pelakon, Dini Schatzmann lebih selesa untuk tidak mengambil komen netizen yang positif atau negatif secara peribadi.
Menurut Dini, meskipun sedar ramai yang mengagumi cara layanannya terhadap isterinya, Janna Nick, dia juga masih mempunyai sisi kelemahan yang tidak ditonjolkan secara terbuka kepada umum.
Baca juga: Air pasang besar: Penduduk kawasan rendah, pesisir pantai Pulau Pinang diminta waspada
Suami kepada pelakon dan pengacara Janna Nick itu juga berpendapat netizen hanya melihat apa yang ditonjolkan di media sosial namun dia menganggap dirinya bukan manusia yang sempurna.
“Ada sahaja yang mengatakan saya ‘green forest’, mungkin ada juga yang mengatakan saya ‘red flag’. Apabila orang bercakap mengenai saya atau Janna, sama ada perkara baik atau buruk, saya tidak mengambilnya secara peribadi.
“Itulah diri saya. Saya tidak mengambil komen orang terlalu peribadi, sama ada positif atau negatif kerana tiada siapa yang mengetahui keseluruhan cerita. Mungkin mereka melihat saya sebagai ‘green forest’ di media sosial, tetapi saya bukanlah manusia yang sempurna.
“Kita tidak boleh mengambil komen orang terlalu peribadi kerana mereka tidak mengetahui keseluruhan cerita, sama ada komen itu negatif atau positif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dini berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pengumuman isterinya, Janna sebagai duta rasmi 3Days x Turun KG season 2 di Hotel Le Meridien Putrajaya, semalam.
Enggan mengambil pusing dengan komen netizen, Dini menegaskan fokus utamanya hanyalah untuk terus memperbaiki diri menjadi versi yang terbaik buat isteri tercinta.
“Saya cuba untuk tidak terlalu terikat dengan komen mereka, sebaliknya lebih memberikan tumpuan kepada perkahwinan saya dan memastikan saya dapat menjadi versi terbaik diri saya buat isteri. Saya rasa itu perkara yang paling penting,” tegasnya.
Ditanya mengenai penglibatan isterinya yang menyahut cabaran untuk menurunkan berat badan dalam masa 90 hari, Dini mengakui sepanjang mereka ikhtiar untuk mendapatkan zuriat, dia tidak pernah memberi sebarang tekanan mengenai perubahan fizikalnya.
“Saya tidak pernah memberi tekanan kepadanya untuk menguruskan badan. Seperti yang Janna katakan, saya adalah orang yang tahu apa yang sedang dilaluinya dan apa yang sedang dilakukannya dalam perancangan kami untuk mendapatkan zuriat.
”Saya tahu apa yang doktor katakan kepadanya, apa yang perlu diambilnya dan segala perkara berkaitan perubatan. Jadi, saya memahami situasinya dan tahu tidak logik untuk dia menguruskan badan secara melampau,” jelasnya.
Dini mendirikan rumah tangga dengan Janna yang juga seorang penyanyi pada 10 Jun 2023. – UTUSAN
The post Digelar suami ‘green forest’, saya bukan manusia sempurna – Dini Schatzmann appeared first on Utusan Malaysia.