LATEST
World News

Ukraine sahkan serangan dron terhadap kapal Rusia

Ukraine sahkan serangan dron terhadap kapal Rusia

HELSINKI – Ukraine mengesahkan bertanggungjawab melancarkan serangan dron terhadap sebuah kapal kargo Rusia di Teluk Finland, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai peluasan konflik Moscow-Kyiv ke kawasan Laut Baltik.Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, serangan pada 21 November lalu menyasarkan kapal Sparta II yang didakwa mempunyai kaitan dengan operasi logistik Kementerian Pertahanan Rusia.Beliau mempertahankan tindakan itu dengan menyifatkan kapal berkenaan sebagai sasaran ketenteraan yang sah kerana dikatakan membawa senjata atau barangan yang tertakluk kepada sekatan antarabangsa.Zelensky berkata, operasi tersebut dilaksanakan di perairan wilayah Rusia dan Ukraine mempunyai hak untuk menyasarkan aset yang menyokong operasi ketenteraan Moscow.Bagaimanapun, beliau mengakui serangan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan beberapa sekutu Eropah, khususnya berhubung keselamatan kawasan Laut Baltik.Serangan dron itu menyebabkan kebakaran pada kapal Sparta II yang ketika itu dalam perjalanan menuju Kaliningrad, wilayah enklaf Rusia di pesisir Laut Baltik.Kesemua 16 kru kapal berkenaan dipindahkan menggunakan bot penyelamat sebelum dibawa ke sebuah kapal berhampiran.Operasi menyelamat melibatkan kapal dari Finland, Estonia dan Rusia bagi memadamkan kebakaran serta mengawal keadaan kapal yang rosak.Kapal itu kemudian ditunda kembali ke perairan Rusia dan dilaporkan berlabuh di Saint Petersburg.Menurut maklumat syarikat pemiliknya, Sparta II dikendalikan Oboronlogistika, sebuah syarikat perkapalan Rusia yang menyediakan perkhidmatan logistik kepada Kementerian Pertahanan negara itu.Bagaimanapun, pihak berkuasa Finland sebelum ini memaklumkan belum mempunyai maklumat sah mengenai jenis muatan yang berada di dalam kapal ketika serangan berlaku.Sementara itu, Menteri Pertahanan Norway, Tore Sandvik mengesahkan negaranya sedang mengadakan perbincangan dengan Ukraine mengenai keperluan mengekalkan kestabilan di kawasan berhampiran Laut Baltik.Beliau menegaskan Ukraine perlu memastikan setiap operasi ketenteraan mematuhi undang-undang antarabangsa dan mengambil kira keselamatan negara jiran.Sandvik berkata, Norway akan terus berbincang dengan Kyiv bagi memastikan tindakan ketenteraan tidak mencetuskan ketegangan lebih besar di rantau berkenaan.Zelensky pula berkata, beliau telah mengarahkan pegawai kerajaan dan tentera Ukraine meningkatkan komunikasi dengan negara sekutu supaya mereka mendapat maklumat mencukupi mengenai operasi ketenteraan yang dijalankan.Serangan itu menambah kebimbangan bahawa konflik Rusia-Ukraine semakin melangkaui medan pertempuran tradisional, khususnya apabila aset perkapalan yang dikaitkan dengan kepentingan ketenteraan Rusia turut menjadi sasaran. – Agensi

More in World News

View all

Latest news