LATEST

Bantuan awal persekolahan RM200 diserah di sekolah, ibu bapa perlu hadir

Bantuan awal persekolahan RM200 diserah di sekolah, ibu bapa perlu hadir

Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM200 kepada semua murid tahun depan diserahkan di sekolah dengan kehadiran ibu bapa masing-masing.

Baca juga: GPS letak 11 muka baharu PRN Sarawak

Perdana Menteri berkata, langkah itu bertujuan memastikan ibu bapa turut memainkan peranan dalam pendidikan anak-anak, selain memberi peluang kepada mereka mengenali sekolah serta bertemu guru yang mendidik anak masing-masing.

Katanya, pemberian bantuan itu tidak seharusnya diserahkan ke rumah, sebaliknya ibu bapa perlu hadir ke sekolah bagi membolehkan interaksi secara langsung antara mereka dengan pihak sekolah.

“Kita minta ibu bapa datang ke sekolah. Kita tak serah wang itu ke rumah kerana kita nak ibu bapa itu tahu sekolah anaknya, jumpa guru-guru dan guru boleh beri nasihat.

“Dia harus tahu bahawa yang membantu mendidik anak-anak mereka itu ialah para guru dan kalau tak datang ke sekolah, (Menteri Pendidikan, Datuk Seri) Fadhlina (Sidek), jangan bagi wang itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara di sini, hari ini.

turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek; Timbalannya, Wong Kah Woh dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pihak sekolah boleh mengadakan program khas bagi membolehkan guru, murid serta ibu bapa bertemu ketika penyerahan bantuan berkenaan.

Katanya, pertemuan itu penting bagi membolehkan guru berkongsi perkembangan serta tingkah laku anak-anak di sekolah kepada ibu bapa.

Beliau berkata, tanggungjawab mendidik anak-anak tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah kerana ibu bapa juga mempunyai peranan besar dalam membentuk disiplin dan sahsiah anak.

“Jangan diserahkan semua kepada sekolah. Ibu bapa juga harus ditegur demi tanggungjawab,” katanya.

Anwar berkata, pendidikan bukan sekadar meningkatkan kepintaran dan penguasaan ilmu, sebaliknya turut membentuk manusia yang mempunyai akhlak, disiplin serta keperibadian baik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news