LATEST
National

Tampar jiran kerana ayam mati, warga emas didenda RM300

Tampar jiran kerana ayam mati, warga emas didenda RM300

TANGKAK: Lelaki warga emas didenda RM300 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menampar dan menolak jirannya sehingga cedera susulan pertikaian berhubung kematian ayam peliharaannya.

Baca juga: Polis Siasat Penemuan Beberapa Naskhah Al-Quran Dan Buku Agama Ditinggalkan Dalam Plastik Hitam Di Ulu Tiram

Majistret Arthana Sarma Rao menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Yong Siew, 75, selepas mengambil kira pengakuan bersalah dan rayuan tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga hari jika gagal membayar denda berkenaan. Bagaimanapun, tertuduh menjelaskan denda itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga penganggur didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 74 tahun di hadapan sebuah rumah di Kampung Baru, Bukit Gambir, di sini, kira-kira jam 6 pagi, 13 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berpunca daripada pertengkaran antara tertuduh dan mangsa berhubung kematian ayam peliharaan lelaki itu.

Tertuduh menuduh mangsa menyebabkan ayam berkenaan mati, namun dakwaan itu dinafikan lelaki terbabit.

Tidak berpuas hati dengan penafian itu, tertuduh kemudian menampar dan menolak mangsa sehingga terjatuh.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami bengkak pada kedua-dua pipi selain kecederaan pada kaki dan badan.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Gambir untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Wee Hong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news