Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Anthony Loke, masih dalam tempoh bercuti manakala peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, belum diterima.
Baca juga: PM jawab persoalan rakyat menerusi Dialog Negara Khas malam ini
Perdana Menteri berkata, beliau sudah bertemu Loke yang memberikan alasan seperti diketahui sebelum ini, namun meminta beliau supaya bercuti terlebih dulu.
“Saya belum terima peletakan jawatan, dia masih bercuti.
“(Saya ada) jumpa (Loke), dia bagi alasan yang kita tahu dan saya beritahu, cuti dulu,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status Loke susulan peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP itu daripada Kabinet baru-baru ini.
Mengulas mengenai pelaksanaan tugas Menteri Pengangkutan sepanjang ketiadaan Loke, Anwar berkata, Kementerian Pengangkutan memiliki Timbalan Menteri serta Ketua Setiausaha (KSU) selain pengurusan tertinggi kementerian.
“Tugas sekarang ni kalau ikut peraturannya memang KSU ada, Timbalan Menteri ada, tapi memang Perdana Menteri tampung (pantau juga) sekejap,” katanya.
Pada 10 November lalu, Loke mengumumkan peletakan jawatan dalam Kabinet susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah, bermula pada hari sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd