KUALA LUMPUR: Sebanyak 192,869 kes penipuan dalam talian direkodkan dari 2023 hingga Oktober tahun ini dengan jumlah kerugian mencecah RM7.33 bilion.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam tempoh sama, seramai 75,226 individu ditangkap manakala 69,665 pertuduhan telah dibuat.
Baca juga: Reformasi pendidikan tak boleh bergantung pada siapa jadi menteri – Fadhlina
Beliau berkata, antara elemen utama yang membolehkan sindiket penipuan beroperasi adalah penggunaan akaun keldai bagi menyalurkan wang hasil kegiatan jenayah.
“Dari tempoh 2023 sehingga Oktober tahun ini, kita rekodkan 192,869 kes penipuan dalam talian. Kerugian RM 7.33 bilion.
“Tempoh yang sama, kita tangkap 75,226 individu dan sebanyak 69,665 pertuduhan telah dibuat. Jadi, ciri penting untuk mana-mana sindiket yang hendak memperdayakan mangsa ialah akaun keldai.
“Dari tempoh 2023 hingga Oktober 2026, kita kesan 254,546 akaun. Dalam jumlah itu, kita tuduh 137,699 akaun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan V. Ganabatirau (PH-Klang) yang meminta perkembangan terkini usaha kerajaan memerangi penipuan dalam talian dan akaun keldai, termasuk jumlah kerugian, kadar pendakwaan serta langkah mempercepatkan pembekuan transaksi mencurigakan sebelum wang dipindahkan ke luar negara.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, terdapat enam kategori utama penipuan iaitu penipuan telekomunikasi, jenayah e-kewangan, penipuan cinta, penipuan e-dagang, skim pinjaman tidak wujud dan skim pelaburan tidak wujud.
Katanya, penipuan telekomunikasi mencatatkan jumlah kes tertinggi sebanyak 73,043 kes dengan kerugian RM2.132 bilion.
Jenayah e-dagang pula merekodkan 50,749 kes dengan kerugian RM509 juta manakala skim pelaburan tidak wujud mencatatkan 27,863 kes dengan jumlah kerugian tertinggi sebanyak RM3.4 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja, sebanyak 56,802 kes penipuan dalam talian direkodkan membabitkan kerugian RM1.56 bilion serta 20,842 tangkapan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 17,985 kertas siasatan membawa kepada pertuduhan terhadap 18,369 individu.
Menurut Saifuddin, analisis profil mangsa mendapati wanita lebih cenderung menjadi mangsa penipuan berbanding lelaki dengan nisbah enam daripada setiap 10 mangsa ialah wanita.
Katanya, kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan bekerja di sektor swasta, manakala pelajar pula menyumbang sebahagian besar individu yang membenarkan akaun bank mereka digunakan sebagai akaun keldai.
Beliau berkata, kerajaan sebelum ini turut meminda Kanun Keseksaan dengan memperkenalkan Seksyen 424A hingga 424D bagi memperuntukkan kesalahan terhadap individu yang membenarkan akaun mereka digunakan sebagai instrumen pembayaran untuk kegiatan jenayah.
Mengulas usaha menyekat aliran wang hasil penipuan, Saifuddin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) akan bertindak segera sebaik sahaja menerima maklumat mangsa yang memindahkan wang ke akaun keldai.
Katanya, wang berkenaan lazimnya dipindahkan melalui beberapa lapisan akaun bagi mengelakkan pengesanan sebelum dikeluarkan oleh penerima akhir.
“Keseluruhan proses itu mungkin mengambil masa serendah lima minit, menjadikan respons segera penting untuk mendapatkan semula dana mangsa.
“Itulah sebabnya panggilan pertama mangsa adalah penting, kerana ia membolehkan maklumat dimasukkan ke dalam sistem polis untuk semakan melalui Portal Penipuan Kebangsaan.
“Melalui portal ini, pihak berkuasa boleh menanda atau menyekat akaun yang terlibat. Kami menggelar tempoh kritikal ini sebagai ‘waktu keemasan’,” katanya.
Beliau berkata, tindakan pantas dalam tempoh berkenaan memberi peluang kepada pihak berkuasa mengesan akaun terbabit dan menjalankan pemeriksaan sebelum wang dipindahkan ke akaun lain.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerima sehingga 30,000 panggilan pada bulan lalu dengan purata 1,000 panggilan sehari.
Katanya, jumlah itu meningkat berbanding hanya 300 hingga 400 panggilan sehari sebelum penubuhan NSRC dan pengenalan talian hotline 997.
Beliau berkata, peningkatan panggilan dan aduan itu bukan sahaja menunjukkan tahap kesedaran orang ramai semakin meningkat, malah memberi gambaran mengenai skala cabaran penipuan dalam talian yang dihadapi negara.
Sementara itu, portal Semak Mule yang membolehkan orang ramai menyemak akaun bank yang ditandai polis kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan merekodkan sebanyak 78 juta kunjungan setakat ini. – UTUSAN
The post Penipuan dalam talian catat kerugian RM7.33 bilion appeared first on Utusan Malaysia.