LATEST

MKRS Training Institute pacu Malaysia jadi hab perancah serantau

MKRS Training Institute pacu Malaysia jadi hab perancah serantau

Kuala Lumpur : Malaysia terus mengukuhkan kedudukan dalam industri perancah (scaffolding) serantau menerusi penubuhan MKRS Training Institute sebagai pusat latihan Overseas Scaffolder Training Scheme (OSTS) pertama di Asia Tenggara, sekali gus mencatatkan pencapaian baharu bagi sektor pembinaan negara.

Pusat latihan yang beroperasi di bawah MKRS Bumi (M) Sdn Bhd itu memperoleh kelulusan National Access & Scaffolding Confederation (NASC), United Kingdom (UK) serta Construction Industry Scaffolders Record Scheme (CISRS).

Baca juga: Empat negeri utara jadi tumpuan pelan induk ekonomi sempadan

Menurut Presiden Persatuan Perancah Pekerjaan Malaysia (MOSA), Datuk Dr Saravanan Karrupayah, OSTS adalah inisiatif strategik bagi memperkasakan pembangunan tenaga kerja mahir dan melonjakkan kompetensi profesional industri perancah tempatan mengikut piawaian antarabangsa.

Menurut beliau, langkah itu menandakan kemajuan penting dalam memperkukuh ekosistem latihan teknikal negara, khususnya bagi melahirkan tenaga kerja yang menepati keperluan industri perancah global.

“Inisiatif itu memberi manfaat kepada penggiat industri tempatan serta berpotensi menarik penyertaan tenaga kerja dan pemain industri dari negara Asia Tenggara yang memerlukan latihan selain pensijilan berstandard antarabangsa.

“Pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen jangka panjang MOSA dalam memperkukuh ekosistem industri ini menerusi kerjasama antarabangsa, pembangunan institusi dan pelaburan berterusan dalam bakat serta kepakaran tempatan.

“Ia dijangka membantu meningkatkan profesionalisme industri perancah Malaysia, selain membuka peluang kepada tenaga kerja tempatan untuk menguasai kemahiran teknikal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif NASC UK, Clive Dickin, yang mencerminkan jalinan kerjasama strategik antarabangsa.

Pada majlis sama, seramai 10 peserta menerima sijil program sulung Train-the-Trainer dan Lead Auditor di Malaysia menerusi kerjasama MOSA bersama NASC dan CISRS.

Sejak ditubuhkan pada 2010, MOSA berperanan memantapkan keselamatan pekerjaan, kompetensi teknikal serta pembangunan piawaian industri perancah tempatan, termasuk bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi menyokong Malaysian Standard MS 1462 dan Construction Industry Standards CIS 22, CIS 23 serta CIS 24.

Mengulas lanjut, Saravanan memaklumkan MOSA merancang meneroka peluang pasaran antarabangsa seperti Arab Saudi menerusi penyelarasan piawaian, pemindahan teknologi serta pengukuhan kerjasama kawal selia.

“Pelancaran pusat latihan OSTS pertama di Asia Tenggara itu sekali gus menjadi langkah penting dalam usaha menjadikan Malaysia hab latihan dan pembangunan kepakaran perancah.

“Pencapaian ini membuktikan kepentingan kerjasama antarabangsa yang berterusan, pelaburan dalam kepakaran tempatan serta pembinaan asas profesional yang kukuh bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang industri,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news