LATEST
National

Op Taring Gelora: Syabu bernilai RM5 juta dirampas, cubaan seludup ke negara jiran gagal

Op Taring Gelora: Syabu bernilai RM5 juta dirampas, cubaan seludup ke negara jiran gagal

GEORGETOWN: Polis Marin menggagalkan merampas 103.798 kilogram (kg) syabu dianggar bernilai RM5.19 juta, dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dalam operasi di perairan Kedah, 14 November lalu.

Baca juga: ”Untuk Apa? Sudahlah, Saya Sudah Tak Sentuh Langsung Lepas Bercerai” – Uqasha Senrose

Empat lelaki termasuk seorang warga tempatan dipercayai dalang sindiket ditahan, manakala sebuah bot gentian kaca dan Toyota Hilux turut dirampas, menjadikan nilai rampasan berjumlah RM5.36 juta.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata Op Taring Gelora bermula pada jam 9 malam selepas risikan mendapati sindiket menggunakan bot gentian kaca untuk menyeludup syabu ke negara jiran.

Katanya, sepasukan anggota membabitkan seorang pegawai dan 18 anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu dengan sokongan Unit Risikan Marin serta bot peronda PSC 45, PSC 60 dan PIB 01, mengesan bot mencurigakan kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Sayak, Tanjung Dawai.

“Apabila diarah berhenti untuk pemeriksaan, pemandu bot berkenaan memecut dan melakukan beberapa pergerakan berbahaya bagi mengelak ditahan.

“Bagaimanapun, kita dapat memintas bot itu pada jam 10.30 malam selepas mengejarnya selama 90 minit dan menahan dua lelaki warga Indonesia di dalamnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPM Wilayah Satu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Komander PPM, Senior Asisten Komisioner Shamsol Kassim dan Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Zaki Ashar.

Mohd Yusri berkata, pemeriksaan menemukan lima guni putih mengandungi 100 bungkusan plastik berwarna keemasan berlabel ‘VIP 666’ berisi syabu seberat 103.798kg, dengan nilai RM5,189,900.

“Risikan susulan keesokannya membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Layar Hujung, Sungai Petani, yang mana seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia ditahan,” katanya.

Beliau berkata, suspek tempatan berusia 36 tahun bekerja sendiri dan mengusahakan kedai runcit dipercayai dalang merancang serta menyelaras penghantaran dadah berkenaan.

Katanya, suspek dipercayai menawarkan bayaran RM12,000 bagi setiap perjalanan kepada pengangkut.

“Walaupun ketiga-tiga suspek warga Indonesia mempunyai pasport sah, mereka dipercayai mengelak pintu masuk sah untuk menjalankan kegiatan di laut,” katanya.

Katanya, dadah itu dipercayai diperoleh dari dalam negara sebelum dihantar untuk diedar di negara jiran, manakala jumlah rampasan dianggar mampu membekalkan dadah kepada 518,990 penagih.

Beliau berkata, polis bekerjasama rapat dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah bagi mengesan pembekal, pembiaya serta baki anggota sindiket yang masih bebas.

Mohd Yusri berkata, sepanjang Januari hingga November tahun ini, PPM Wilayah Satu merekodkan 151 kes mengikut Akta Dadah Berbahaya dengan 180 tangkapan dan nilai rampasan RM11.96 juta.

Secara keseluruhan, pasukan itu merekodkan 2,375 kes dengan 1,462 tangkapan serta nilai rampasan melebihi RM187.99 juta menerusi semua operasi penguatkuasaan dalam tempoh sama.

Katanya, keempat-empat suspek berusia antara 31 hingga 36 tahun disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan minimum 12 kali sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news