RIYADH: Menara tertinggi di ibu negara Arab Saudi, Menara Dana Pelaburan Awam (PIF), sekali lagi menjadi sasaran serangan semalam, hanya beberapa hari selepas insiden pertama pada 19 November lalu, menurut saksi kepada agensi berita AFP.
Serangan terbaharu itu dikecam pakatan tentera yang memerangi kumpulan Houthi di Yemen sebagai tindakan pengganas.
Baca juga: Shuhaily kembali lagi ke mahkamah bagi sebutan kes dakwaan cederakan dua anggota polis
Tiga saksi berasingan memaklumkan serangan menyasarkan bangunan setinggi 80 tingkat yang menempatkan dana kekayaan berdaulat Arab Saudi itu serta menjadi antara mercu tanda utama di Daerah Kewangan Raja Abdullah (KAFD).
Bangunan berkenaan merupakan antara beberapa sasaran berprofil tinggi yang diserang sejak pertempuran dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran kembali tercetus pada Julai lalu.
“Salah sebuah menara di pusat kewangan itu menjadi sasaran serangan pengganas yang pengecut,” kata jurucakap pakatan, Turki al-Malki menerusi hantaran di media sosial tanpa menamakan bangunan terbabit.
Beliau berkata, pihak berkuasa berkaitan sedang menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Serangan terhadap bangunan PIF itu mempunyai kesan simbolik besar memandangkan dana berkenaan menjadi pemacu utama usaha Arab Saudi mempelbagaikan ekonomi negara daripada kebergantungan kepada sektor minyak.
Bagaimanapun, usaha itu kini berdepan cabaran susulan konflik di Asia Barat dan siri serangan kumpulan Houthi.
Awal bulan ini, sebuah menara milik syarikat minyak nasional Arab Saudi, Aramco, di KAFD turut menjadi sasaran serangan, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh diserang beberapa kali pada Oktober lalu, termasuk satu insiden yang mengorbankan 14 nyawa.
Seorang lagi saksi memberitahu AFP, sebuah kenderaan yang dilengkapi pembesar suara dilihat memberi amaran kepada pejalan kaki supaya berlindung pada Selasa.
Bagaimanapun, tiada amaran mengenai ancaman di ibu negara dihantar ke telefon bimbit penduduk.
Susulan kejadian itu, kereta peronda polis menutup beberapa laluan masuk ke daerah kewangan moden berkenaan yang menjadi simbol usaha pemodenan Arab Saudi di bawah kepimpinan pemerintah de facto negara itu, Putera Mahkota Mohammed bin Salman. – AFP
The post Menara tertinggi Riyadh sekali lagi diserang appeared first on Utusan Malaysia.