Washington: Insiden pencerobohan keselamatan siber di CIA dan Pejabat Pengarah Perisikan Negara (ODNI) telah menyebabkan beberapa maklumat tidak terperingkat kerajaan terdedah, menurut laporan media Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.
Baca juga: Pelaburan Patuh Syariah: Panduan Asas Untuk Pemula
The New York Times melaporkan bahawa pencerobohan yang baru ditemui itu menyasarkan sistem analisis perisikan sumber terbuka, iaitu satu rangkaian komputer yang meneliti bahan awam yang tidak terperingkat bagi mendapatkan maklumat penting.
Akhbar itu yang memetik pegawai AS dan individu yang arif mengenai perkara itu, menyatakan bahawa bahan yang dikelaskan (rahsia) tidak terjejas.
The Times memetik seorang pegawai ODNI sebagai berkata, bahawa tiada gangguan terhadap keupayaan kritikal berlaku.
CIA pula enggan memberikan sebarang komen.
Laporan itu terbit beberapa hari selepas Jabatan Pertanian dan FBI dilaporkan menjadi sasaran serangan siber, di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai keselamatan sistem komputer AS susulan beberapa siri gangguan teknikal yang besar.
Apabila ditanya mengenai laporan pencerobohan terhadap FBI pada Sabtu, Presiden Donald Trump berkata, beliau baru sahaja mengetahuinya.
“Saya katakan bahawa ini bukanlah sesuatu yang baik. Saya tidak menyukainya,” katanya kepada Fox News.
Gangguan perkhidmatan yang berlaku sejak beberapa minggu kebelakangan ini telah menjejaskan perjalanan, komunikasi dan aktiviti perdagangan elektronik bagi ramai pengguna di seluruh AS, malah turut memberi kesan kepada rangkaian rahsia peringkat tertinggi di Agensi Keselamatan Negara (NSA).
Ketua Keselamatan Siber Rumah Putih, Sean Cairncross dipecat minggu lalu susulan kritikan yang semakin memuncak terhadap pelbagai masalah yang berlaku.
© New Straits Times Press (M) Bhd