Papar: Biarpun berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal, bapa tunggal ini tetap menggalas tanggungjawab menjaga anak sulung, Nur Azkia Moi Mohd Tajul atau Azkia yang lumpuh selepas disahkan distonia, gangguan pergerakan sistem saraf yang menyebabkan pengecutan otot secara tidak terkawal.
Baca juga: Turkiye belum bersedia terima pelarian Rohingya
Pada masa sama, Mohd Tajul Rabani, 36, perlu menjaga anak bongsu, Aiman Fransadrian Wio yang berumur dua tahun.
Mohd Tajul berkata, tanggungjawab digalas tidak mudah kerana dia tiada pekerjaan tetap, malah bergantung hasil jualan bakso dari rumah kerana perlu menjaga dua anak.
Bercerita lanjut, Mohd Tajul berkata, dia bergelar OKU selepas kudung kaki kanan akibat terbabit dalam kemalangan, lima tahun lalu.
Menurutnya, Azkia pula lumpuh kerana oksigen tidak sampai ke otak kesan cedera terjatuh dalam kolam dekat muzium di Sabah pada 20 September tahun lalu.
“Azkia dilahirkan normal, namun jadi begitu selepas jatuh di dalam kolam sebabkan dia lemas 30 minit.
“Insiden berlaku ketika saya berniaga air balang dan bakso di tapak jualan.
“Ketika itu, saya terlepas pandang dia bermain sebelum menyedari ketiadaannya. Kemudian baru dapat tahu Azkia terjatuh dalam kolam.
“Azkia dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan dan doktor cuba membantu, namun dia ditakdirkan hilang keupayaan selepas insiden berkenaan,” katanya.
Mohd Tajul berkata, tugas menjaga anak yang sakit agak mencabar kerana menuntut komitmen masa dan tenaga selain kekuatan mental juga fizikal.
“Boleh dikatakan saya kena memantau Azkia 24 jam sehari dan sekarang dia bernafas menerusi leher selepas melakukan trakeostomi (prosedur bukaan trakea di leher).
“Jadi, memang tak cukup tidur dan setakat ini, Azkia hanya minum susu serta tak boleh makan.
“Sekarang Azkia perlu jalani terapi dengan bayaran RM1,400 sebulan. Cuma masalahnya pendapatan saya tak menentu dan hanya dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM450 yang juga elaun bulanan bagi OKU (orang kurang upaya) bekerja,” katanya yang berpisah dengan bekas isteri, tahun lalu.
Menurutnya, selagi bernyawa, dia akan mengumpul kekuatan untuk terus menjaga kedua-dua anaknya.
“Dugaan ini memang besar terutama dalam keadaan saya yang berstatus OKU dan bapa tunggal.
“Tapi, saya bersyukur kerana Allah SWT beri kekuatan untuk terus bertahan.
“Tak mudah, tapi saya kena kuat kerana mengenangkan anak perlukan saya. Saya pun tak boleh bayangkan macam mana hidup tanpa mereka,” katanya.
Orang ramai berhasrat membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun RHB milik Mohd Tajul, 11403500671558.
© New Straits Times Press (M) Bhd