LATEST
National

Dortmund ikat Arsenal di Emirates

Dortmund ikat Arsenal di Emirates

LONDON: Penyerang Arsenal, Viktor Gyokeres membuktikan mengapa dia menjadi pemain yang sering mencetuskan perdebatan apabila meledak gol menerusi rembatan kencang, namun turut mensia-siakan peluang penting ketika pasukannya terikat 1-1 dengan Borussia Dortmund dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Baca juga: Pindaan Akta Tabung Haji 1995 sedang diteliti – Zulkifli

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta sebelum ini menggesa Gyokeres merebut peluang yang diberikan selepas memilih penyerang Sweden itu berbanding Kai Havertz bagi perlawanan fasa liga di Stadium Emirates.

Pada awalnya, Gyokeres kelihatan mampu menyahut cabaran itu apabila meledak gol pertamanya di Stadium Emirates musim ini, selain gol ketiganya buat The Gunners dalam semua kejohanan.

Namun, pemain berusia 28 tahun itu sering menjadi sasaran kritikan berikutan prestasi tidak konsisten sejak menyertai Arsenal dari Sporting Lisbon pada 2025.

Dia sekali lagi memberikan alasan kepada pengkritiknya apabila mensia-siakan peluang keemasan untuk memastikan kemenangan menerusi tandukan lemah pada penghujung perlawanan.

Dortmund sudah menyamakan kedudukan menerusi Maximilian Beier ketika itu, sekali gus membuatkan Arteta terpaksa menyesali keputusannya memberikan kepercayaan kepada Gyokeres.

Arsenal kekal tanpa kalah dalam 11 perlawanan terakhir semua kejohanan, namun aksi kali ini bukanlah persembahan terbaik juara England itu yang gagal mencatat kemenangan di laman sendiri buat kali pertama musim ini.

Dalam pertembungan antara pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Bundesliga itu, Arsenal terlalu banyak mensia-siakan peluang di hadapan gol selain melakukan kesilapan di benteng pertahanan sehingga mereka tidak layak untuk meraih tiga mata penuh.

Arsenal kini menduduki tangga kelima fasa liga dengan tiga kemenangan dan dua keputusan seri daripada lima perlawanan, manakala Dortmund di tangga ketujuh, ketinggalan satu mata di belakang mereka.

Arteta pastinya mengharapkan persembahan lebih tajam ketika menentang pencabar kejuaraan EPL, Manchester City yang sedang bergelut dengan prestasi tidak konsisten dalam pertembungan penting di utara London, Ahad ini.

Arsenal menguasai permainan pada awal perlawanan apabila rembatan Christos Tzolis melantun sedikit melepasi palang sebelum Gyokeres menguji penjaga gol Dortmund, Gregor Kobel menerusi rembatan jarak jauh.

Namun, Dortmund gagal mengambil iktibar daripada amaran itu apabila Gyokeres meletakkan Arsenal di hadapan pada minit ke-10.

Pertahanan Dortmund melakukan kesilapan besar apabila memberikan terlalu banyak ruang kepada Gyokeres yang menguasai bola kira-kira 23 meter dari gawang.

Penyerang Sweden itu menghukum kesilapan berkenaan menerusi rembatan lencong deras yang melambung sebelum menerjah bahagian atas jaring gol.

Tzolis hampir menggandakan kelebihan Arsenal menerusi rembatan lencong yang memaksa Kobel melakukan aksi menyelamat sambil menjatuhkan badan.

Declan Rice hampir menghasilkan gol yang serupa dengan Gyokeres menerusi rembatan kencang yang sedikit tersasar melepasi palang.

Kepa Arrizabalaga menggalas tugas sebagai penjaga gol Arsenal menggantikan David Raya selepas rakan senegaranya itu mengalami kecederaan bahu ketika seri dengan Newcastle, Sabtu lalu.

Penguasaan Arsenal begitu ketara sehingga Kepa tidak perlu melakukan sebarang aksi menyelamat sehinggalah minit terakhir babak pertama apabila dia menepis rembatan Joane Gadou di tiang dekat.

Bagaimanapun, Dortmund sememangnya dikenali sebagai pasukan yang lebih ampuh pada babak kedua musim ini dan mereka sekali lagi membuktikan reputasi itu.

Dortmund turut membuat rayuan mendapatkan sepakan penalti selepas Gyokeres menghalang sepakan penjuru menggunakan tangan, namun rayuan itu ditolak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news