Apakah ertinya sebuah kemajuan apabila manusia semakin bijak berfikir, tetapi semakin gagal untuk berperikemanusiaan?
Baca juga: Kenang A Samad Said menerusi karya, kebaikannya – Anak
Kita berbangga dengan kecanggihan teknologi, kemajuan sistem pendidikan dan pencapaian akademik generasi muda. Namun, dalam keghairahan mengejar semua itu, kita seakan-akan berhadapan dengan satu kemunduran yang jauh lebih membimbangkan, iaitu kemunduran akhlak dan nilai kemanusiaan.
Gejala buli yang berlaku dalam masyarakat, sama ada di institusi pendidikan, tempat kerja mahupun di media sosial, bukan sekadar persoalan disiplin atau kelemahan penguatkuasaan undang-undang. Lebih daripada itu, ia mencerminkan penyakit jiwa yang sedang membarah dalam kehidupan manusia.
Bagaimana seseorang manusia sanggup menikmati penderitaan manusia yang lain? Bagaimana air mata, ketakutan dan kesakitan seseorang boleh menjadi bahan hiburan dan ketawa?
Lebih menyedihkan perbuatan tersebut disaksikan orang di sekeliling namun tiada keberanian untuk hentikannya. Bahkan, ada yang merakam dan menyebarkannya seolah-olah penderitaan manusia merupakan suatu bentuk hiburan.
Kemuliaan manusia dalam Islam
Islam meletakkan nilai kemanusiaan pada kedudukan yang sangat tinggi. Kemuliaan seseorang manusia bukan semata-mata diukur berdasarkan pangkat, kekayaan, keturunan, kekuatan fizikal atau pencapaian akademik.
Sebaliknya, setiap manusia mempunyai kemuliaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 70 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”
Menariknya, Allah SWT menggunakan ungkapan Bani Adam dalam ayat ini, bukan hanya merujuk kepada orang beriman atau golongan tertentu.
Ia memberikan suatu kefahaman bahawa manusia pada asasnya memiliki kehormatan yang perlu dipelihara tanpa mengira latar belakang, kedudukan sosial mahupun perbezaan fizikal.
Justeru, apabila seseorang menghina, memukul, memperlekeh atau menjatuhkan maruah orang lain, hakikatnya dia sedang mencabuli kemuliaan yang dianugerahkan Allah SWT kepada manusia tersebut.
Dalam S urah al-Hujurat, ayat 11, Allah SWT turut melarang sesuatu kelompok daripada memperolok-olokkan kelompok yang lain kerana boleh jadi mereka yang diperolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka yang memperolokkannya.
Ayat ini mendidik manusia agar tidak menjadikan kelebihan diri sebagai lesen untuk merendahkan orang lain.
Kekuatan bukan untuk menindas
Antara kekeliruan yang perlu diperbetulkan dalam masyarakat ialah tanggapan bahawa kekuatan memberikan seseorang hak untuk menguasai dan menindas mereka yang lebih lemah.
Dalam budaya buli, kekuatan fizikal, kedudukan sebagai senior, populariti dan pengaruh dalam kelompok sering disalahgunakan untuk menunjukkan kekuasaan. Sedangkan Islam memberikan takrif kekuatan yang jauh berbeza.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukanlah orang yang menang dalam pergaduhan, tetapi orang yang kuat ialah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini memperlihatkan bahawa ukuran kekuatan sebenar bukanlah kemampuan untuk menundukkan orang lain, tetapi kemampuan untuk menundukkan hawa nafsu sendiri.
Orang yang benar-benar kuat tidak perlu menjatuhkan orang lain untuk membuktikan kehebatannya. Sebaliknya, kekuatan yang dimilikinya digunakan untuk melindungi, membantu dan membela mereka yang memerlukan.
Pendidikan yang kehilangan roh
Sebagai sebuah masyarakat yang meletak pendidikan sebagai asas pembangunan negara, kita perlu bermuhasabah sejauh mana sistem pendidikan kita berjaya melahirkan manusia yang memiliki kehalusan jiwa dan keluhuran budi.
Kita mungkin berjaya melahirkan generasi yang cemerlang dalam peperiksaan, menguasai pelbagai bahasa, menghafaz ayat-ayat al-Quran dan memiliki kemahiran teknologi yang tinggi.
Namun, segala pencapaian tersebut belum sempurna sekiranya mereka gagal menghormati maruah manusia yang berada di hadapan mereka.
Pendidikan bukan sekadar proses memindahkan ilmu daripada guru kepada seorang pelajar, tetapi juga proses membentuk jiwa, membina adab dan menyuburkan sifat belas kasihan.
Dalam tradisi pendidikan Islam, pembentukan insan tidak hanya tertumpu kepada aspek ta’lim (pengajaran ilmu), tetapi turut merangkumi ta’dib (pembentukan adab) dan tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa).
Kegagalan memberikan keseimbangan kepada aspek ini boleh melahirkan manusia yang tinggi kecerdasannya, tetapi rendah kepekaan terhadap penderitaan orang lain.
Ilmu sepatutnya menjadikan seseorang semakin tawaduk, bukan semakin angkuh. Pendidikan pula seharusnya menjadikan manusia semakin berperikemanusiaan, bukan semakin mahir mencari kelemahan orang lain.
Jangan normalisasikan kezaliman
Masyarakat juga perlu berhenti menormalisasikan perbuatan buli atas nama gurauan, tradisi, proses mendewasakan seseorang atau membina ketahanan mental.
Tidak semua gurauan mampu diterima orang yang menjadi sasarannya. Sesuatu yang dianggap lucu oleh pelaku mungkin menjadi luka yang dipendam oleh mangsa sepanjang kehidupannya.
Lebih membimbangkan apabila mangsa pula dipersalahkan kerana dianggap terlalu sensitif, lemah atau tidak mampu menyesuaikan diri.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslim itu ialah orang yang kaum Muslimin selamat daripada gangguan lidah dan tangannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Betapa indahnya ukuran keislaman yang diberikan oleh Rasulullah SAW. Kehadiran seseorang Muslim seharusnya memberikan rasa aman kepada orang lain, bukan menimbulkan ketakutan dan penderitaan.
Dalam konteks ini, membanteras buli bukan hanya tanggungjawab pihak sekolah, ibu bapa atau pihak berkuasa. Ia merupakan tanggungjawab moral seluruh masyarakat.
Mereka yang menyaksikan kezaliman perlu berani mengambil tindakan yang selamat, melaporkannya dan membantu mangsa mendapatkan perlindungan.
Mengembalikan jiwa kemanusiaan
Usaha membanteras buli tidak boleh terhenti pada pengenaan hukuman semata-mata. Hukuman dan penguatkuasaan tetap penting bagi melindungi mangsa serta memastikan keadilan, namun usaha mendidik hati manusia juga tidak boleh diabaikan.
Generasi muda perlu dididik untuk memahami bahawa setiap manusia mempunyai perasaan, maruah, keluarga, impian dan harapan dalam kehidupannya.
Di sebalik seorang mangsa buli, mungkin terdapat seorang ibu yang tidak pernah berhenti mendoakan keselamatan anaknya, seorang ayah yang bekerja keras demi masa depannya dan sebuah keluarga yang meletakkan harapan besar terhadap kehidupannya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Suburkan sifat rahmah dalam keluarga, institusi pendidikan dan kehidupan bermasyarakat. Didiklah anak-anak bukan sahaja untuk menjadi manusia yang berjaya, tetapi juga manusia yang mampu menghargai kehidupan orang lain.
Sesungguhnya, tragedi terbesar dalam sesebuah tamadun bukan apabila manusia kehilangan kecanggihan teknologi atau kemajuan ilmu pengetahuan, tetapi apabila manusia hilang rasa kemanusiaan terhadap sesama manusia.
Jangan sampai kita berjaya didik generasi untuk menjadi segala-galanya, tetapi gagal didik mereka menjadi manusia.
Penulis Pensyarah Kanan Pengajian Islam, Quran & Bahasa Arab Universiti Kuala Lumpur, Royal College of Medicine Perak, Ipoh
© New Straits Times Press (M) Bhd