LATEST

Pemegang kad UNHCR ditempatkan di negara ketiga selepas tempoh transit – Ahmad Zahid

Pemegang kad UNHCR ditempatkan di negara ketiga selepas tempoh transit – Ahmad Zahid

am@hmetro.com.my

Baca juga: MCMC saman Google RM300 juta berhubung kandungan palsu Papagomo di YouTube

Kuala Lumpur: Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) akan ditempatkan di negara ketiga selepas peringkat transit selesai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penempatan berkenaan selaras dengan hasrat kerajaan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai negara yang mengutamakan kepentingan hak asasi manusia.

Bagaimanapun, katanya, proses itu bergantung sepenuhnya kepada negara penerima yang menetapkan syarat serta jumlah pemegang kad UNHCR yang akan diterima pada satu-satu masa.

“Dalam masa yang sama, pendekatan kawalan sempadan negara pada masa kini tidak hanya tertumpu kepada pembinaan tembok dan pagar, tetapi turut membabitkan penggunaan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI), dron dan sistem pemantauan pintar.

“Di samping itu, kerajaan turut memutuskan supaya tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil terhadap warga Malaysia yang menjadi enabler kepada warga asing yang melakukan kesalahan di Malaysia.

“Ia termasuk tindakan terhadap individu yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT), serta terhadap pemilik tanah atau premis yang membenarkan aktiviti berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang meminta pendirian rasmi kerajaan dalam membanteras kemasukan pelarian serta tindakan susulan yang perlu diambil UNHCR selepas peringkat transit selesai.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan seramai 227,414 pelarian dan pemohon suaka didaftarkan di Malaysia melalui UNHCR sehingga 30 September lalu.

Saifuddin berkata, ia termasuk 205,273 pelarian (90.2 peratus) berasal dari Myanmar dan daripada jumlah itu, 132,400 pelarian adalah etnik Rohingya.

Katanya, rekod UNHCR juga menunjukkan pemegang kad UNHCR berada di seluruh Semenanjung, dengan peratusan tertinggi di Selangor, iaitu sebanyak 33 peratus (74,028); Kuala Lumpur, 21 peratus (47,333) dan Pulau Pinang, 11 peratus (25,357).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news