ZURICH, Nov. 25, 2026 (GLOBE NEWSWIRE) — Aleksejs Ivashuk, Pengasas Apatride Network, sebuah gabungan yang diterajui oleh individu tanpa kewarganegaraan, telah diumumkan sebagai penerima Global Citizen Award 2026 atas usaha beliau dalam memperjuangkan hak dan pengiktirafan undang-undang bagi golongan tanpa kewarganegaraan di seluruh Eropah serta di peringkat global.
Dianugerahkan setiap tahun oleh Henley & Partners dengan kerjasama pertubuhan kemanusiaan bukan berasaskan keuntungan Switzerland, Andan Foundation, anugerah ini menghargai individu yang memperlihatkan keberanian luar yang biasa dan komitmen untuk memajukan komuniti global. Majlis penyampaian anugerah tersebut berlangsung semasa resepsi gala sempena Global Citizenship Conference tahunan ke-20 Henley & Partners di Zurich.
Baca juga: Trungnam dan Ansaldo Energia Meterai Kontrak Pembekalan Turbin Gas bagi Loji Janakuasa LNG Cà Ná
Daripada Pengalaman Peribadi kepada Perubahan Nyata
Ivashuk telah berusaha membawa suara golongan yang terjejas secara langsung ke dalam perbincangan dasar bagi membantu mendorong pembaharuan yang praktikal. Pada tahun 2024, advokasi rangkaian tersebut menyumbang kepada perubahan dalam prosedur pengambilan pekerja UNHCR, sekali gus membolehkan individu tanpa kewarganegaraan memohon jawatan tanpa perlu mengisytiharkan kewarganegaraan mereka. Usaha itu turut menyumbang kepada cadangan European Banking Authority yang bertujuan menjadikan proses pengesahan identiti lebih inklusif bagi golongan tanpa kewarganegaraan.
Pengerusi Henley & Partners serta Pengasas Andan Foundation, Dr. Christian H. Kaelin, memuji sumbangan luar biasa penerima anugerah tersebut. “Kewarganegaraan global juga harus bermaksud membela mereka yang tidak memiliki kewarganegaraan sama sekali. Aleksejs telah mengubah pengalaman peribadinya menjadi perubahan yang praktikal, memberikan golongan tanpa kewarganegaraan suara yang lebih kukuh, di samping membantu institusi menghapuskan halangan yang menyisihkan mereka. Keazaman dan pencapaian beliau mencerminkan keberanian serta komitmen yang menjadi asas pengiktirafan anugerah ini. Kami berbangga untuk menghargai jasa beliau.”
Sambil merakamkan penghargaan kepada Henley & Partners dan Andan Foundation atas pengiktirafan tersebut, Aleksejs Ivashuk berkata, “Bagi kebanyakan orang, kewarganegaraan ialah perkara yang tidak pernah perlu difikirkan. Bagi mereka yang pernah hidup tanpanya, ketiadaan kewarganegaraan boleh membentuk setiap aspek kehidupan — daripada membuktikan identiti diri sehinggalah mencari pekerjaan dan membina masa depan. Namun, ketiadaan kewarganegaraan tidak bermakna mereka tidak mempunyai hak. Anugerah ini mengiktiraf tekad bersama golongan tanpa kewarganegaraan agar suara mereka kedengaran dan dapat membantu membentuk penyelesaian yang mempengaruhi kehidupan mereka. Saya berharap pengiktirafan ini dapat meningkatkan kesedaran dan diterjemahkan kepada tindakan yang bermakna, supaya hak asasi tidak sekadar diiktiraf dari segi prinsip, tetapi turut dihormati dalam kehidupan seharian.”
Mengiktiraf Sumbangan Luar Biasa kepada Komuniti Global
Proses pemilihan Global Citizen Award dibuat berdasarkan keputusan majoriti Jawatankuasa Anugerah. Anugerah tersebut merangkumi pingat arca khas yang direka oleh artis Itali terkemuka Antonio Nocera, sijil anugerah dan hadiah wang tunai berjumlah USD 20,000 yang akan digunakan bagi menyokong usaha kemanusiaan penerima anugerah. Di samping itu, Henley & Partners dan Andan Foundation komited untuk bekerjasama rapat dengan penerima anugerah bagi tempoh sekurang-kurangnya satu tahun, meningkatkan kesedaran tentang usaha mereka serta menyokong mereka melalui rangkaian firma tersebut yang merangkumi lebih daripada 70 pejabat di seluruh dunia.
Sejak penubuhannya, Global Citizen Award telah mengiktiraf ramai individu luar biasa yang memberikan sumbangan bermakna kepada komuniti global menerusi usaha mereka. Antaranya termasuk Diep Vuong, Pengasas Bersama dan Presiden Pacific Links Foundation, yang diiktiraf atas usahanya di Asia Tenggara memperjuangkan hak mereka yang diperhambakan akibat pemerdagangan manusia; Prof. Dr. Padraig O’Malley, atas usahanya dalam penyelesaian konflik dan perdamaian di Iraq, Ireland Utara, serta Afrika Selatan; Zannah Bukar Mustapha, atas kerja kemanusiaannya di Nigeria membantu anak yatim serta memperjuangkan mangsa keganasan pelampau; dan Yang Berhormat Mohamed Nasheed, aktivis hak asasi manusia perintis, bekas Setiausaha Agung Climate Vulnerable Forum, serta tokoh advokasi utama bagi tindakan iklim dan hak negara yang terdedah kepada ancaman iklim.
Tahun lalu, anugerah tersebut telah disampaikan kepada Profesor Spyridon Flogaitis, Pengarah dan Presiden Lembaga European Public Law Organization (EPLO), sebagai pengiktirafan atas komitmen sepanjang hayat beliau dalam memajukan undang-undang awam, pendidikan perundangan dan pembaharuan institusi. Beliau telah menerajui inisiatif untuk memperkukuh tadbir urus, mempromosikan kedaulatan undang-undang serta meningkatkan akses kepada keadilan, khususnya di wilayah yang menghadapi kerapuhan demokrasi dan pemulihan pascakrisis.
Untuk maklumat lanjut dan permintaan temu bual, sila hubungi:
Sarah Nicklin
Ketua Kumpulan Perhubungan Awam & Komunikasi
Henley & Partners
E-mel: sarah.nicklin@henleyglobal.com
Telefon Bimbit: +27 72 464 8965