KUALA TERENGGANU: “Setakat ini, saya dan isteri diibaratkan sebagai tidur sebantal, tetapi mimpi lain-lain,” kata bekas Ketua BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris.
Baca juga: Malaysia masih pertimbang eksport nadir bumi ke China
Beliau berkata demikian mengulas penyertaan isterinya, Datin Nor Aizam Abu Bakar sebagai ahli PAS, Khamis lalu.
Razali yang juga EXCO kerajaan negeri sudah meletak jawatan sebagai Ketua BERSATU negeri dan Ketua Bahagian Marang pada Ogos lalu, namun masih kekal sebagai ahli parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Nor Aizam menyertai PAS dan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS negeri pada Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0), Khamis lalu.
Razali yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal mengesahkan tidak menghalang Nor Aizam menyertai PAS, walaupun dia masih menjadi ahli BERSATU.
Katanya, perbezaan haluan politik antaranya dan isteri bukan sesuatu yang perlu menjadi penghalang, malah dia menghormati keputusan Nor Aizam untuk meneruskan perjuangan bersama PAS.
“Setakat ini, saya mahu menumpukan perhatian kepada tanggungjawab dalam sektor pelancongan negeri seperti diamanahkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr
Ahmad Samsuri Mokhtar, walaupun BERSATU tidak lagi menjadi gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Saya tidak terkejut dan menghalang keputusan isteri, Nor Aizam yang meminta izin untuk menyertai PAS,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Razali turut memberi bayangan untuk mengikut isterinya menyertai PAS, selepas menyelesaikan tanggungjawab seperti diamanahkan BERSATU.
Katanya, suami isteri sekarang politiknya bukan seperti dahulu, apabila isteri perlu patuh kepada perjuangan suami.
“Saya tidak halang isteri…biarlah dia dengan cara dia, lagipun saya tidak perlu bimbang kerana ramai kawan dalam kalangan ahli PAS.
Mengulas lanjut, Razali berkata, kedudukan sebagai ahli BERSATU masih kekal dan mengesahkan tidak pernah mengemukakan surat keluar parti.
“Saya hanya menghantar surat melepaskan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri pada 7 Ogos lalu selepas kira-kira 10 tahun menerajui parti itu di negeri ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd