LATEST

Siti Rohaya kenang sokongan tidak berbelah bahagi Pak Samad

Siti Rohaya kenang sokongan tidak berbelah bahagi Pak Samad

Kuala Lumpur: Hubungan akrab lebih dua dekad dengan Allahyarham Datuk Seri Dr A Samad Said menjadikan pemergian Sasterawan Negara terbilang itu dianggap satu kehilangan besar buat penerbit teater, Siti Rohaya Attan.

Baca juga: ‘Kita datang sebagai tetamu senja’ – Pesanan bermakna A Samad Said

Rohaya yang juga pengasas CTRA Production berkata, Sasterawan Negara ke-4 itu sentiasa memberikan sokongan terhadap usahanya termasuk pengarah, Dr Rosminah Mohd Tahir dalam mementaskan karya agung arwah iaitu Lantai T Pinkie sejak 1997.

Menurutnya, Allahyarham A Samad yang mesra disapa Pak Samad sering bergurau dan berkongsi kegembiraan setiap kali karya itu dipentaskan, selain teruja melihat pembaharuan yang dibawa dalam setiap pementasan.

“Daripada segi hubungan, saya memang sangat rapat dengannya. Walaupun saya hanya menghasilkan satu karya beliau iaitu Lantai T Pinkie, tetapi setiap kali saya mengadakan persembahan atau apa-apa acara, kalau kita jemput, arwah pasti akan datang.

“Kalau hendak bercerita mengenai Pak Samad, beliau suka berjenaka. Dengan saya, beliau selalu bergurau, tetapi dengan orang lain, beliau lebih banyak menunjukkan wajah serius.

“Kalau ada orang lain bertanya kepadanya, Pak, boleh tak saya nak buat Lantai T Pinkie? Beliau jawab, jangan, nanti saya kena tembak. Karya ini punya Rohaya dan Rosminah,” katanya kepada BH Online.

Allahyarham Pak Samad yang juga penyair tersohor tanah air menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 6.05 petang tadi.

Berita pemergian Allahyarham Pak Samad disahkan anak keduanya, Helmy Abdul Samad menerusi perkongsian Threads.

Mengimbas kenangan bersama Allahyarham Pak Samad, Rohaya berkata, Lantai T Pinkie dipentaskan sebanyak lapan kali dengan setiap pementasan menampilkan pembaharuan bagi memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.

“Saya sudah mementaskan Lantai T Pinkie sebanyak lapan kali dan setiap kali itu juga, kita sentiasa membawa sedikit pembaharuan. Pak Samad sangat seronok kerana setiap pementasan ada kelainan.

“Bukanlah pembaharuan yang besar, tetapi kita tampilkan karakter yang ada dalam dialog itu. Setiap kali bercerita dengannya mengenai pementasan itu, beliau akan tersenyum dan ketawa. Kalau berjumpa saya, memang beliau akan ketawa.

“Sebab itu, apabila dimaklumkan petang tadi bahawa beliau sakit dan dimasukkan ke hospital, saya sudah mula terbayang-bayang keadaannya.

“Ketika sedang memandu tadi, saya cuba memujuk hati sendiri dan berkata, tidak mengapalah, sudah sampai masanya, kita reda’,” katanya.

Katanya, satu lagi kenangan yang sukar dilupakan ialah kesungguhan Allahyarham terus memberi sokongan terhadap pementasan teaternya meskipun keadaan kesihatan tidak lagi mengizinkan.

“Beliau selalu memaksa dirinya untuk terus bergerak. Walaupun tidak sihat, kalau beliau tahu saya mengadakan persembahan, beliau sanggup datang. Malah, apabila sudah datang, beliau tidak mahu pulang.

“Contohnya, ketika saya mementaskan Lantai T Pinkie, keadaannya ketika itu pun sudah tidak sihat. Persembahan diadakan pada hari Sabtu, sesi petang dan malam.

“Beliau mahu datang menyaksikan kedua-dua persembahan. Selepas menonton persembahan petang, beliau mahu terus menunggu untuk menyaksikan persembahan malam pula,” katanya.

Skrip Lantai T Pinkie disiapkan pada 1996 dan pementasan sulung berlangsung di Singapura pada tahun sama.

Setahun kemudian, Kumpulan Utusan Melayu dengan kerjasama Kretam Holdings mementaskannya di Kuala Lumpur sebanyak dua kali.

Lantai T Pinkie mencetuskan fenomena dalam dunia teater tanah air sebelum pementasannya diteruskan pada 2000 dan 2006, masing-masing sekali dan dua kali.

Sejak 1997, teater berkenaan diterbitkan Rohaya dan diarahkan Rosminah.

Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah pula bertindak sebagai penggubah muzik sejak teater itu mula dipentaskan.

Antara pelakon yang pernah memegang watak utama sebagai T Pinkie ialah Puan Sri Tiara Jacquelina ketika pementasan pada 1997, Juhara Ayob (2000), Vanidah Imran dan Nasha Aziz (2006) serta Zera Hariz (2023).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news