LATEST
National

Iraq pecat pegawai kanan susulan skandal penyeludupan minyak

Iraq pecat pegawai kanan susulan skandal penyeludupan minyak

BAGHDAD: Perdana Menteri Iraq, Ali al-Zaidi memecat ketua Pihak Berkuasa Pelabuhan Sempadan serta beberapa pegawai kanan keselamatan di wilayah Kirkuk kerana gagal mengambil langkah bagi mencegah kegiatan penyeludupan minyak di medan minyak utara negara itu, menurut pejabat media perdana menteri pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Baca juga: Kedah rekod RM7.56 bilion pelaburan direalisasikan menerusi NCER

“Menamatkan perkhidmatan Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Sempadan. Memecat Komander Operasi Kirkuk dan Ketua Polis Kirkuk kerana gagal mengambil tindakan susulan berhubung isu penyeludupan produk petroleum,” menurut kenyataan itu.

Tindakan berkenaan susulan penemuan pelbagai pelanggaran berskala besar di Syarikat Minyak Utara yang beroperasi di Kirkuk.

Al-Zaidi turut menggantung tugas Ketua Pengarah Syarikat Minyak Utara dan timbalannya sementara menunggu siasatan oleh Suruhanjaya Integriti Persekutuan, selain merujuk bekas pengarah syarikat itu untuk disiasat.

Perdana Menteri itu juga memecat beberapa pegawai keselamatan, termasuk Komander Briged Polis Tenaga Pertama, timbalannya, pengarah perisikan briged berkenaan serta ketua bahagian pemeriksaannya.

Beliau turut mengeluarkan teguran tatatertib terhadap pengarah Keselamatan Negara dan Perisikan Negara di wilayah Kirkuk.

Pada November, pihak berkuasa perisikan negara Iraq mendedahkan maklumat mengenai pelbagai kes penyeludupan minyak serta kegiatan menyedut keluar minyak daripada saluran paip minyak utama negara itu secara haram.

– BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news