KUALA LUMPUR: Dunia kesusasteraan tanah air semalam, kehilangan seorang tokoh penulis apabila Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr A Samad Said, meninggal dunia pada usia 91 tahun.
Baca juga: 3 pelajar didakwa esok kes buli kerana mesej WhatsApp
Beliau menghembuskan nafas terakhir ketika berada dalam rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 6.05 petang semalam.
Terdahulu, beliau dimasukkan ke HKL untuk menerima rawatan akibat sakit tua, selain menghidap diabetes dan mengalami jangkitan pada paru-paru.
Pemergian tokoh pengarang yang mesra disapa dengan gelaran Pak Samad itu bukan sekadar kehilangan seorang pengarang prolifik, malah meninggalkan jasa cukup besar dalam perjalanan perkembangan kesusasteraan Melayu moden yang sekian lama disinari karya dan pemikirannya.
Nama Pak Samad bukan sekadar terpahat sebagai novelis dan penulis prolifik, sebaliknya menjadi sebahagian daripada sejarah pembinaan sastera Melayu moden.
Menerusi karya yang dihasilkan, beliau mengangkat kisah kehidupan manusia biasa, kemiskinan, penderitaan, ketidakadilan dan pergolakan masyarakat dengan ketajaman pemerhatian serta kepekaan kemanusiaan yang tinggi.
Beliau dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura dari 1940 hingga 1946 sebelum melanjutkan pelajaran di Victoria Institution sehingga memperoleh Sijil Senior Cambridge pada 1956.
Ketekunan membaca karya penulis lain menjadi antara kekuatan yang membentuk keupayaan beliau sebagai sasterawan versatil.
Perjalanan kerjaya beliau bermula sebagai kerani, sebelum menceburi bidang kewartawanan dengan berkhidmat di akhbar Fikiran Rakyat, Utusan Melayu dan Berita Harian.
Pengalaman sebagai wartawan bukan sahaja mendekatkan dirinya dengan pelbagai lapisan masyarakat, malah memberikan ruang untuk menyelami realiti kehidupan yang kemudiannya banyak diterjemahkan dalam karya sasteranya.
Berita Harian turut menjadi sebahagian daripada sejarah kerjaya beliau dalam bidang kewartawanan apabila pernah mengetuai akhbar ini sebelum memegang jawatan Pengarang Sastera dan seterusnya Ketua Pengembangan Sastera dalam Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP).
Individu yang dikenali gemar berbusana serba putih ini, kemudiannya menumpukan perhatian kepada penulisan sepenuh masa, sekali gus meneruskan penghasilan karya yang memperkayakan khazanah sastera negara.
Pengalaman dalam dunia kewartawanan turut menjadi latar penting kepada novel Hujan Pagi, antara karya yang memperlihatkan pergolakan kehidupan seorang wartawan serta perubahan dunia media.
Antara ungkapan masyhur beliau: “Wartawan sejati jarang makan gaji tetapi selalu makan hati” (atau dalam versi asal teksnya, “Wartawan jati jarang makan gaji tanpa makan hati”). Ungkapan ini dipetik daripada novel tersohor Allahyarham bertajuk Hujan Pagi.
Antara karya paling besar yang mengangkat nama Pak Samad ialah novel Salina yang diterbitkan pada 1961.
Novel berkenaan mengisahkan kehidupan masyarakat selepas Perang Dunia Kedua, khususnya golongan bawahan yang berdepan kemiskinan, penderitaan dan cabaran untuk meneruskan kehidupan.
Keupayaannya mengangkat sisi kemanusiaan watak-watak terpinggir menjadikan Salina antara karya penting dalam perkembangan novel Melayu moden, malah diterjemahkan ke bahasa lain termasuk Inggeris dan Perancis.
Selain Salina, Pak Samad turut menghasilkan beberapa novel penting seperti Di Hadapan Pulau, Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang, Daerah Zeni, Hujan Pagi dan Lantai T. Pinkie.
Karya berkenaan memperlihatkan keluasan pemikiran beliau dalam meneroka persoalan sejarah, masyarakat, budaya, kemanusiaan dan perubahan zaman.
Keistimewaan Pak Samad turut terserlah menerusi penguasaannya dalam pelbagai genre penulisan kreatif termasuk novel, puisi, cerpen, drama dan esei.
Antara karya lain yang dihasilkan ialah Benih Semalu, Benih Harapan, Warkah Eropah, Al-Amin dan Rindu Ibu. Beberapa karya beliau seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Lantai T. Pinkie dan Memori di Hadapan Pulau turut diadaptasi ke pentas teater dan drama, membuktikan keupayaan karya sasteranya merentasi medium seni.
Sepanjang perjalanan sebagai penulis, beliau menerima pelbagai pengiktirafan atas sumbangan besar kepada perkembangan kesusasteraan negara.
Antaranya Anugerah Pejuang Sastera pada 1976, SEA Write Award pada 1979 dan pengiktirafan tertinggi dalam bidang kesusasteraan negara apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara keempat pada 1985.
Pengiktirafan terhadap sumbangan beliau turut melangkaui sempadan negara apabila menerima Anugerah Sasterawan Nusantara pada 1999. Beliau juga dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Kesusasteraan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2003, selain menerima darjah kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada 1997.
Di sebalik pelbagai pengiktirafan diterima, Pak Samad tidak pernah memisahkan dunia penulisan daripada tanggungjawab terhadap masyarakat.
Beliau turut dikenali dengan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu serta kepentingan sastera sebagai wahana ilmu, pemikiran dan pembinaan jati diri bangsa.
Di usia emasnya, figura ini masih aktif memenuhi undangan majlis sastera termasuk sanggup mengembara ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak bagi menyemarakkan perkembangan sastera tanah air.
Ketokohan Pak Samad terletak pada keupayaannya menjadikan sastera lebih daripada sekadar susunan kata-kata, sebaliknya sebagai wadah merakam sejarah, menyuarakan keresahan masyarakat dan membangkitkan kesedaran kemanusiaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd