Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan bahawa beliau sememangnya menggalakkan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan mana-mana institusi pendidikan MARA (IPMA) untuk menyampaikan aduan secara terus kepadanya sekiranya berdepan sebarang masalah.
Jangan pertakai aduan terus
Menurutnya dalam satu kenyataan di Facebook, pendekatan itu membolehkan setiap permasalahan membabitkan kebajikan pelajar diberikan perhatian dan tindakan segera tanpa perlu menunggu terlalu lama.
Baca juga: Ibu bapa perlu bersedia! Masuk Tahun Satu usia 6 tahun bakal diwajibkan mulai 2029 -KPM
“Usahlah pertikaikan kenapa anak-anak pelajar MRSM atau mana-mana IPMA yang selesa mengadu terus kepada saya.
Sejujurnya memang saya sendiri galakkan supaya tindakan boleh segera diambil untuk atasi apa jua masalah kebajikan pelajar,” tulisnya.
Perkongsian itu hadir ketika isu penyediaan makanan di sebuah MRSM turut menjadi perhatian selepas beberapa pelajar dan ibu bapa MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka dilaporkan mengadu mengenai makanan yang disediakan di dewan selera, termasuk ayam yang didakwa tidak dimasak dengan sempurna.
Terdahulu, Asyraf Wajdi meluahkan rasa kecewa terhadap perkara itu dan memaklumkan sudah meminta pengetua sekolah berkenaan menjalankan siasatan serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak kontraktor penyedia makanan.
Sumber: Facebook Asyraf Wajdi Dusuki