Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima sekitar 74,000 permohonan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2027, meskipun pelaksanaannya masih bersifat pilihan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pihaknya turut menerima rayuan daripada ibu bapa yang berminat untuk mendaftarkan anak masing-masing selepas melihat persediaan yang dilakukan kementerian.
Baca juga: Tahanan rumah Najib: Keputusan Agong tidak boleh dicabar di mahkamah – AGC
Beliau berkata, perkembangan itu dapat dilihat selepas ibu bapa mendapat gambaran lebih jelas mengenai buku teks serta usaha yang dilaksanakan KPM dalam menjayakan inisiatif berkenaan.
“Namun sekarang ini bila dah tengok bukunya, dah tengok usaha yang KPM laksanakan, dah ada ibu bapa yang minta membuat rayuan kepada Kementerian Pendidikan untuk memasukkan anak-anak ini.
“Rayuan-rayuan akhir ini kita akan teliti dari segi kesediaan bilik darjah, dari segi kesediaan tempat,” katanya ketika ditemui pada sesi Taklimat KPM bersama Media di Putrajaya, hari ini.
Rayuan ibu bapa akan dipertimbangkan
Mohd Azam berkata, setiap rayuan akan diperhalusi dengan mengambil kira kapasiti dan kesediaan kemudahan di sekolah sebelum sebarang keputusan dibuat.
Ujarnya, kementerian sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan masyarakat khususnya dalam memenuhi keperluan pendidikan anak-anak.
“Kalau kita tak ada apa-apa isu, mungkin kita akan pertimbangkan rayuan-rayuan ini.
“Kementerian Pendidikan sentiasa mendengar, sentiasa memastikan keperluan-keperluan ibu bapa, masyarakat itu disantuni dengan baik,” ujarnya.
KPM bersedia hadapi lonjakan permohonan
Dalam pada itu, beliau memaklumkan permohonan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2028 akan dibuka pada 2027.

Tambahnya, jumlah permohonan yang diterima ketika ini turut menjadi asas kepada kementerian untuk merancang keperluan infrastruktur, tenaga pengajar dan bahan pembelajaran.
“Sebenarnya setakat ini 74,000, bila kita tengok trend ini, kita dah ada satu angka untuk kita merancang penambahan bilik darjah, kita dah mula ada rangka untuk keperluan buku teks, guru dan sebagainya.
“Kalau misalkan berlaku pelonjakan itu, maknanya insya-Allah Kementerian Pendidikan boleh uruskan,” katanya.
Terdahulu, KPM merancang untuk mewajibkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu mulai 2029, selepas memberikan pilihan kepada ibu bapa pada tahun 2027 dan 2028.