LATEST

Bertukar lima Perdana Menteri, tiga YDP Agong! ECRL akhirnya hampir siap -Sultan Pahang

Bertukar lima Perdana Menteri, tiga YDP Agong! ECRL akhirnya hampir siap -Sultan Pahang

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melalui perjalanan panjang apabila merentasi pentadbiran lima Perdana Menteri dan tiga Yang di-Pertuan Agong sebelum mencapai tahap 99 peratus siap ketika ini.

Kejayaan projek ini wajar dihargai

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kejayaan meneruskan projek mega berkenaan sehingga ke tahap sekarang wajar dihargai kerana membabitkan komitmen pelbagai kepimpinan negara sejak ia mula dicadangkan pada 2016.

Baca juga: Kes buli berpunca mesej WhatsApp, tiga pelajar didakwa esok

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menjadi antara individu penting dalam mencetuskan projek berkenaan.

“Biar saya berkongsi sedikit mengenai sejarah projek ini.
“Seperti yang kita sedia maklum, projek ECRL mula dicadangkan pada 2016 oleh kepimpinan ketika itu, khususnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Projek ini kemudiannya diteruskan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, diikuti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kini Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dalam erti kata lain, lima Perdana Menteri dan tiga Yang di-Pertuan Agong sudah berkhidmat sepanjang tempoh pembinaan projek ini, termasuk saya sendiri,” titah baginda.

Foto: Kesultanan Pahang

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke majlis pembukaan Stesen KotaSAS.

Mengimbau perjalanan projek itu, Al-Sultan Abdullah memaklumkan, baginda sudah mengikuti perkembangan ECRL sejak sebelum menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 2019.

Baginda turut mengingati majlis pecah tanah projek berkenaan yang berlangsung di KotaSAS pada 2017 sebelum timbul pelbagai spekulasi susulan pertukaran kerajaan pada 2018.

“Saya masih ingat majlis pecah tanah projek ini diadakan di sini (KotaSAS) pada 2017.
“Susulan pertukaran kerajaan pada 2018, timbul pelbagai khabar angin dan spekulasi bahawa projek ini akan dikaji semula.
“Saya tidak berhasrat mengulas secara terperinci, namun saya mengikuti perkembangan yang berlaku.
“Pada ketika itu, saya berpeluang bertemu Darwis (Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak) buat kali pertama dan menerima taklimat terperinci mengenai projek berkenaan.
“Saya menyarankan supaya projek itu diteruskan,” titah baginda.

Zahir penghargaan kepada semua bekas pemimpin

Dalam pada itu, baginda menzahirkan penghargaan kepada semua bekas pemimpin dan pihak yang terlibat kerana memastikan projek berkenaan dapat diteruskan mengikut perancangan.

“Seperti yang dinyatakan lebih awal oleh Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar), projek ini sudah mencapai tahap 99 peratus siap, walaupun mengalami beberapa kelewatan berbanding jadual asal,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menyifatkan pembukaan Stesen KotaSAS sebagai detik bermakna selepas rakyat menantikan perkembangan projek itu selama bertahun-tahun.

“Inilah hari yang kita nantikan. Selama beberapa tahun, kita mendengar mengenai ECRL dan hari ini menjadi kemuncak kepada penantian itu apabila akhirnya kita dapat melihat, merasai pengalaman serta berada sendiri di stesen ini.
“Kita juga berpeluang menaiki tren berkenaan,” titah baginda.

Foto: Kesultanan Pahang

Untuk rekod, projek ECRL sepanjang 665 kilometer menghubungkan Kota Bharu, Kelantan dengan Lembah Klang menerusi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Fasa pertama sepanjang 520 kilometer menghubungkan Kota Bharu dengan Gombak, manakala fasa kedua menghubungkan Gombak dengan Pelabuhan Klang yang dijangka siap pada Disember 2027 sebelum memulakan operasi pada Januari 2028.

Sumber: Facebook Kesultanan Pahang

Latest news