audreymd@nst.com.my
Baca juga: Ibu bapa perlu bersedia! Masuk Tahun Satu usia 6 tahun bakal diwajibkan mulai 2029 -KPM
Nibong Tebal: Kesan tompokan darah serta cebisan daging berhampiran tali air di Kampung Baru, Ladang Byram di sini, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang disyaki mangsa bunuh, malam tadi.
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu selepas mengekori kereta peronda polis yang memasuki kampung berkenaan, lewat malam tadi.
Katanya, dia ke lokasi kejadian dan dimaklumkan bahawa seorang mandur menemukan mayat berkenaan kira-kira 10 malam.
Menurut Ahmad, mandur terbabit dikatakan sedang menunggang motosikal dan melalui kawasan pintu air apabila ternampak kesan darah dan cebisan daging, yang kemudian membawanya kepada penemuan mayat di kawasan berlumpur.
“Mandur itu segera menghubungi polis sebaik menemukan mayat berkenaan.
“Saya mengekori kereta peronda itu kerana kebiasaannya jika kenderaan polis masuk ke kampung kami, pasti ada kejadian serius yang berlaku.
“Apabila tiba di lokasi, saya dimaklumkan seorang lelaki ditemukan mati, dipercayai dibunuh,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Ahmad berkata, kes itu mungkin membabitkan penduduk tempatan, sambil memaklumkan bahawa pekerja asing jarang berada di kawasan berkenaan, meskipun ia terletak berhampiran sangkar ikan.
“Agak mustahil mangsa adalah warga asing kerana terdapat banyak tin minuman keras di lokasi kejadian, dan pekerja asing tidak melepak di sini.
“Kawasan ini gelap dan mungkin kelihatan sunyi bagi orang luar, tetapi penduduk tempatan kerap menggunakan laluan ini untuk urusan harian,” tambahnya.
Terdahulu, dilaporkan mayat seorang lelaki yang disyaki mangsa bunuh ditemukan separuh tertimbus dalam lumpur di tebing tali air di Kampung Baru, Ladang Byram, malam tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim mengesahkan kejadian itu disiasat sebagai kes bunuh.
“Identiti mangsa masih belum dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd