ALOR SETAR: Dua pelajar sekolah menengah antara yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah dalam operasi khas lumba haram di Jalan Gunung Keriang, di sini, semalam.
Baca juga: ‘Bukan kerajaan sebarkan dokumen pengampunan bersyarat Najib, siasat siapa buat’ – Anwar
Seorang adalah remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan kerana menunggang motosikal di bawah umur dan berada di kawasan aksi lumba haram di situ.
Remaja itu turut menangis serta memohon maaf dengan bapanya yang datang ke pejabat JPJ Kedah semalam untuk membawanya pulang.
Pengarah JPJ Kedah, Stein Van Lutam, berkata dalam operasi sama, pihaknya menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun sedang berlumba di kawasan itu bersama seorang lagi rakannya.
Beliau berkata, rakan itu berjaya melarikan diri, namun remaja 15 tahun terbabit berjaya ditahan bersama motosikal Y15 dipercayai milik ibu rakannya itu.
“Remaja itu masih bersekolah dan ditahan untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan keluarga. Kita akan dakwa remaja terbabit di mahkamah dalam tempoh 14 hari dan ia kes pertama JPJ Kedah ketika melaksanakan operasi semalam.
“Operasi bermula jam 6.15 petang hingga 10 malam tadi, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Kedah, Jalan Suka Menanti, di sini, hari ini.
Stien berkata, kes remaja lelaki 13 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 39 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, manakala remaja lelaki yang berlumba itu pula disiasat mengikut Seksyen 42A (1) APJ 1987.
Stien berkata, sepanjang operasi itu, sebanyak 162 motosikal dan kenderaan diperiksa, dengan sejumlah 110 notis serta saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang dikesan.
“Antara aksi berbahaya yang dikenal pasti termasuklah mengangkat tayar hadapan atau wheelie, aksi Superman serta menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di jalan raya, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd