LATEST

Status Soon Koh, Johnichal, pengganti Idris diputuskan esok

Status Soon Koh, Johnichal, pengganti Idris diputuskan esok

mdroji@bh.com.my

Baca juga: OSK Sora utamakan keselesaan keluarga berbilang generasi

Kuching: Keputusan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Idris Buang untuk tidak mempertahankan kerusi DUN Muara Tuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, membuka ruang kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) menentukan calon baharu bagi kawasan itu.

Perkembangan itu menyusul selepas Idris mengumumkan tidak akan menawarkan diri untuk bertanding semula, semalam, sekali gus menamatkan khidmatnya sebagai wakil rakyat Muara Tuang selepas lebih sedekad.

Ketua Penerangan GPS, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya menghargai sumbangan Idris selama ini yang disifatkan sebagai pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersemangat tinggi serta komited terhadap perjuangan parti.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, secara peribadi, beliau berharap Idris dapat mengakhiri pembabitannya dalam politik dengan baik dan terus membantu parti dalam kapasiti lain selepas ini.

“Kita amat menghargai sumbangan Datuk Idris selama ini kerana beliau antara pemimpin parti PBB yang sangat bersemangat dan komited terhadap perjuangan parti.

“Saya berharap beliau masih akan bersama kita untuk membantu dari belakang dalam kapasiti lain,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Muzium Sarawak: Memperingati Ulang Tahun Ke-135 Bangunan Lama Muzium Sarawak, di Muzium Budaya Borneo, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, keputusan mengenai calon yang akan mengisi kekosongan ditinggalkan Idris akan diketahui selepas pengumuman calon GPS oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, esok.

Beliau berkata, Abang Johari diberi mandat oleh semua parti komponen GPS untuk menentukan calon yang akan bertanding mewakili gabungan itu pada PRN Sarawak Ke-13.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi mengenai calon yang bakal dipilih, sebaliknya menyerahkan keputusan itu kepada Premier yang akan mengumumkan senarai calon secara rasmi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Karim berkata, GPS juga akan menentukan kedudukan bekas pemimpin Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Wong Soon Koh dan Dr Johnichal Rayong Ngipa, yang mengumumkan keluar daripada parti berkenaan, semalam.

Beliau berkata, sama ada kedua-dua mereka akan kembali bertanding pada PRN kali ini atau tidak, keputusan itu turut bergantung kepada pertimbangan Premier Sarawak.

Soon Koh adalah penyandang GPS bagi DUN Bawang Assan di Sibu, manakala Dr Johnichal penyandang DUN Engkelili di Sri Aman.

Mengulas sama ada terdapat perbincangan selepas ucapan Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing, mengenai keputusan parti itu untuk bertanding di semua lapan kerusi tradisi pada majlis pelancaran jentera GPS baru-baru ini, Abdul Karim mengakui ada perbincangan dilakukan, walaupun tidak secara terperinci.

“Setakat yang saya tahu, memang ada sedikit perbincangan selepas acara di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari itu. Saya tahu Premier pulang agak lewat, jadi mungkin ada sedikit perbincangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news