LATEST

Program dihentikan, Pan Baobao ‘si gempal’ tak perlu turunkan lagi berat badan

Program dihentikan, Pan Baobao ‘si gempal’ tak perlu turunkan lagi berat badan

Beijing: Harimau bintang gempal di China yang pernah mencetuskan fenomena di internet kerana penampilannya yang berisi kembali menjadi perhatian ramai selepas pihak zoo memutuskan untuk menghentikan program penurunan berat badannya, lapor Sunday Guardian Live.

Baca juga: Rekod jualan digital boleh ganti cagaran pinjaman

Harimau bintang berusia 19 tahun yang diberi nama Pan Baobao itu tidak lagi perlu menjalani sebarang usaha menurunkan berat badan memandangkan penjaga zoo kini lebih mengutamakan kesihatan dan kesejahteraannya.

Haiwan itu mula mendapat perhatian sekitar Mac 2024 selepas pengunjung Zoo Panzhihua di barat daya China merakam gambar dan video yang memaparkan tubuhnya yang gempal serta corak bulunya yang unik.

Pengguna internet segera menyedari persamaan penampilannya dengan Clawhauser, watak citah yang gempal dan ceria dalam filem animasi terbitan Disney, Zootopia. Persamaan itu mencetuskan perhatian meluas di media social sekali gus menarik kehadiran pengunjung yang ingin melihatnya sendiri.

Susulan popularitinya, penjaga zoo melaksanakan program diet ketat pada 2024 bagi membantunya menurunkan berat badan. Bagaimanapun, meskipun berat badannya pernah susut dengan ketara, tubuhnya kembali kelihatan bulat seperti sebelum ini.

Kini, pihak zoo memutuskan untuk tidak meneruskan usaha menurunkan berat badannya berikutan faktor usia sebaliknya penjaga zoo menganggap mengekalkan kesihatan dan keadaan fizikalnya secara keseluruhan lebih penting berbanding mengubah penampilannya

Menurut pegawai zoo, Zhang Songwen, Baobao diberikan lebih 500 gram daging lembu setiap hari bersama ayam bagi memastikan keperluan nutrisinya mencukupi dan seimbang.

Beliau berkata, haiwan yang semakin berusia mengalami perubahan fizikal termasuk kulit yang mengendur sekali gus menyebabkan saiz badannya kelihatan lebih besar.

Katanya, perkara paling penting adalah memastikan Baobao mendapat makanan dan nutrisi mencukupi berbanding memberi tumpuan kepada penurunan berat badan. Pemeriksaan doktor haiwan baru-baru ini juga mengesahkan harimau bintang itu berada dalam keadaan sihat.

Walaupun program penurunan berat badannya sudah ditamatkan, Baobao tetap digalakkan melakukan aktiviti fizikal dengan pekerja zoo menyediakan bola besar untuknya bermain dan menggalakkannya bergerak di dalam sangkar bagi memastikan haiwan itu kekal aktif.

Populariti Baobao bukan sahaja mencuri perhaian pengguna media sosial, malah haiwan itu turut dilantik sebagai Pengarah Pelancongan Kehormat oleh lembaga pelancongan tempatan pada April 2025.

Bagaimanapun, terdapat segelintir pengguna internet yang mengkritik popularitnya kerana mendakwa haiwan di zoo diberi makan secara berlebihan.

Bagi peminatnya yang semakin bertambah, keputusan menghentikan program penurunan berat badan itu disambut baik. Kisah Baobao turut mengingatkan orang ramai bahawa kebajikan dan kesihatan haiwan perlu diutamakan berbanding penampilan fizikal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news