syafil.syazwan@hmetro.com.my
Baca juga: Menara tertinggi Riyadh sekali lagi diserang
Kuala Lumpur: Pelawak dan pelakon, Amir Raja Lawak dibenarkan keluar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan, semalam, selepas menerima rawatan akibat Influenza B dan jangkitan kuman pada paru-paru sejak lebih dua minggu lalu.
Amir, 37, atau nama sebenar Mohammad Amirullah Azmi memaklumkan perkara itu menerusi hantaran di media sosialnya.
Dia turut mendedahkan keadaannya yang kritikal sehingga hampir ditidurkan sebelum ibunya meminta doktor mencuba rawatan ubat-ubatan lain terlebih dahulu.
“Alhamdulillah, dah dibenarkan keluar hospital dan balik rumah. Terima kasih doktor, jururawat serta Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) yang menjaga saya selama dua minggu lebih di HRPZ II ini,” katanya.
Menurut Amir, kejadian itu berlaku secara tiba-tiba bermula dengan demam berpanjangan diikuti serangan asma sebelum pemeriksaan sinar-X mengesahkan terdapat jangkitan kuman pada paru-parunya.
“Betul saya hampir ditidurkan sebenarnya, tapi Umi beritahu doktor supaya jangan tidurkan dahulu dan tolong bagi apa-apa ubat lain sebagai usaha,” katanya.
Mengulas lanjut pengalamannya, Amir menyifatkan ujian kesihatan kali ini jauh lebih mencabar berbanding ketika dia disahkan positif Covid-19 sebelum ini berikutan kesan jangkitan lama yang masih ada pada tubuhnya.
“Saya pernah positif Covid-19 dan dimasukkan ke hospital, tapi ujian Influenza B positif ini lebih hebat ditambah dengan kesan lama Covid-19 yang memudahkan kuman melekat pada paru-paru. Ia menyerang sendi dan dalaman.
“Allahuakbar, tak sanggup nak bayangkan dengan kahak berdarah, sesak nafas, terpaksa pakai mesin oksigen melekat kuat pada muka dan perlu disuntik,” katanya.
Amir berkata, dia kini dalam proses pemulihan kerana belum pulih sepenuhnya selain perlu menjalani beberapa pemeriksaan susulan termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) serta sinar-X.
Dalam pada itu, Amir turut mengakui ujian berkenaan menyedarkannya mengenai kepentingan mendapatkan rehat mencukupi selepas terlalu sibuk menguruskan perniagaan.
“Pada awalnya saya cuba bertenang dan uruskan hal kedai walaupun keadaan (kesihatan) diri sudah merosot, namun akhirnya langsung tidak berdaya sehingga telefon bimbit pun dipegang keluarga.
“Banyak saya belajar daripada kejadian ini dan mungkin sebelum ini saya terlalu sibuk hingga tidak cukup rehat serta tidur. Nikmat sihat memang tiada tandingnya, jadi jaga diri dan kesihatan baik-baik,” katanya.
Amir dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPZ II pada 11 November lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru sehingga perlu bergantung pada alat bantuan pernafasan.
© New Straits Times Press (M) Bhd