LATEST
National

Rekod jualan digital boleh ganti cagaran pinjaman

Rekod jualan digital boleh ganti cagaran pinjaman

KUALA LUMPUR: Rekod jualan dan aliran tunai digital boleh menjadi bukti alternatif kepada cagaran dalam penilaian pinjaman, sekali gus membuka laluan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang sukar melepasi kaedah penilaian kredit tradisional.

Baca juga: PKR Sarawak tidak bertanding PRN ke-13, hormati muafakat dengan GPS

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon, berkata banyak perniagaan dalam kelompok ‘pertengahan yang tercicir’ mempunyai operasi kukuh dan aliran tunai stabil, tetapi tidak memiliki penyata kewangan diaudit atau cagaran mencukupi.

“Masalahnya bukan kemampuan mereka membayar balik pinjaman. Sebaliknya, proses penilaian kredit tradisional tidak dapat melihat keupayaan berkenaan,” katanya dalam satuk kenyataan Boost dan International Finance Corporation (IFC) untuk Berita Harian.

Beliau berkata, urus niaga digital membolehkan pemberi pembiayaan menilai prestasi perniagaan dari hari ke hari berdasarkan jumlah jualan, kestabilan aliran tunai dan rekod pembayaran balik terdahulu.

Ketua Fintech Asia Timur dan Pasifik, Jabatan Ekuiti, Dana dan Modal Teroka IFC, Rostan Schwab, berkata aktiviti transaksi, penyata bank dan corak pembayaran boleh memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai kesihatan perniagaan berbanding penilaian yang hanya berasaskan cagaran.

Bagaimanapun, beliau menegaskan penggunaan data alternatif bukan bertujuan meluluskan sebanyak mungkin pinjaman, sebaliknya membolehkan risiko dan kemampuan membayar dinilai dengan lebih tepat.

“Objektifnya bukan sekadar meluluskan lebih banyak pinjaman. Tujuannya adalah untuk menilai risiko dengan lebih tepat melalui penilaian kredit berdisiplin dan pembiayaan bertanggungjawab,” katanya.

Boost mengambil masa kira-kira enam tahun membangunkan dan menambah baik model penilaian kredit alternatifnya, dengan data pembayaran balik digunakan untuk membezakan pelanggan mengikut profil risiko masing-masing.

Kumpulan itu turut menggunakan pendekatan pembiayaan berperingkat dengan menawarkan jumlah lebih kecil pada peringkat awal, sebelum had pembiayaan ditingkatkan apabila pelanggan membina rekod pembayaran balik yang baik.

Kecerdasan buatan generatif pula digunakan untuk menganalisis aliran tunai, risiko kredit dan kemungkinan penipuan bagi permohonan lebih besar serta kompleks, pada kelajuan dan kos hampir menyamai pemprosesan pinjaman kecil.

Kerjasama Boost dengan IFC akan memperkukuh penggunaan data alternatif bersama piawaian tadbir urus, perlindungan pelanggan, pencegahan pengubahan wang haram, penilaian kemampuan dan pengurusan risiko kredit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news