LATEST

Arteta pertahan Gyokeres biarpun sia-siakan peluang

Arteta pertahan Gyokeres biarpun sia-siakan peluang

London: Mikel Arteta mempertahankan Viktor Gyokeres selepas penyerang Arsenal itu menghasilkan jaringan menakjubkan sebelum mensia-siakan peluang penting ketika seri 1-1 dengan Borussia Dortmund dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Baca juga: PKR Sarawak tidak bertanding PRN ke-13, hormati muafakat dengan GPS

Arteta sebelum ini menggesa Gyokeres memanfaatkan peluang diberikan apabila memilih penyerang Sweden itu berbanding Kai Havertz bagi perlawanan fasa liga di Stadium Emirates.

Gyokeres pada awalnya menyahut cabaran berkenaan apabila meledak gol pertamanya di laman sendiri musim ini, selain jaringan ketiganya bersama The Gunners dalam semua pertandingan.

Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu terus berdepan kritikan susulan prestasi tidak konsisten sejak menyertai Arsenal dari Sporting Lisbon pada 2025, malah sekali lagi mensia-siakan peluang keemasan untuk memastikan kemenangan menerusi tandukan lemah pada penghujung perlawanan.

Arteta bagaimanapun tidak sependapat dengan kritikan terhadap anak buahnya itu, sebaliknya memuji persembahan Gyokeres yang disifatkannya cemerlang, selain menegaskan jaringan yang dihasilkan pemain itu membuktikan kualitinya.

“Dia beraksi cemerlang hari ini. Dia menjaringkan gol yang luar biasa dan dia mempunyai kualiti untuk melakukannya.

“Apa yang paling saya suka ialah bagaimana dia berhubung dengan pasukan. Kami menggunakan dia dalam pelbagai cara, termasuk permainan kombinasi dan keupayaannya mengekalkan bola.

“Dia juga mampu bergerak di belakang pertahanan dan membuka ruang. Banyak perkara positif daripada persembahan itu,” kata Arteta.

Arsenal kekal tanpa kalah dalam 11 perlawanan terakhir semua kejohanan, namun keputusan seri itu menyaksikan mereka gagal meraih kemenangan di laman sendiri buat kali pertama musim ini.

Arteta bagaimanapun berpendapat Arsenal layak memperoleh tiga mata berdasarkan penguasaan dan peluang yang dicipta, meskipun mengakui penyudah pasukannya perlu diperbaiki.

“Daripada cara kami bermain, tidak ada keraguan betapa dominan dan betapa banyak ancaman yang kami hasilkan. Ia permainan yang menarik untuk ditonton, tetapi sukar dipercayai apabila ada peluang yang tidak menghasilkan gol.

“Kami perlu lebih baik dalam penyudah dan mungkin sedikit tergesa-gesa. Kami sepatutnya menyempurnakan beberapa gerakan dengan lebih baik.

“Memang ada unsur nasib, saya sendiri tidak tahu bagaimana beberapa peluang itu tidak menghasilkan gol, tetapi kami juga perlu lebih baik menyelesaikan gerakan,” katanya.

Arsenal kini berada di tangga kelima fasa liga dengan tiga kemenangan dan dua seri daripada lima perlawanan, manakala Dortmund di tangga ketujuh, ketinggalan satu mata.

Arteta berharap pasukannya tampil lebih tajam ketika berdepan Manchester City dalam aksi penting Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad ini.

Sementara itu, pengendali Dortmund, Niko Kovac menyifatkan keputusan seri itu sebagai satu pencapaian besar buat pemain, penyokong dan kelab, terutama selepas pasukannya memperkemaskan permainan pada babak kedua dengan lebih berani dan agresif.

“Kami tidak bermain seperti yang saya harapkan dalam 15 minit pertama dan terlalu pasif. Selepas rehat, kami lebih berani dan melakukan tekanan dengan lebih aktif, sekali gus meletakkan Arsenal dalam situasi sukar.

“Kami berjaya bangkit kerana keinginan yang tinggi. Saya sangat gembira untuk pemain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news