KUCHING: PKR Sarawak memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 sebagai tanda menghormati semangat kerjasama serta muafakat politik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan.
Baca juga: Imam dilepas dan dibebaskan pertuduhan amang seksual kanak-kanak OKU
Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama tiga pemimpin parti iaitu Penasihat PKR Sarawak, Datuk Seri Hafsah Harun; Naib Presiden PKR Pusat, Roland Engan; dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak, Mahmud Epah, semalam.
“Pertimbangan utama yang mendasari pendirian ini ialah sebagai tanda menghormati semangat kerjasama, muafakat serta komitmen politik dalam Kerajaan Perpaduan bagi memelihara kestabilan politik pada peringkat negeri dan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.
Pendirian itu turut bertujuan memperkukuhkan hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pada masa sama, keputusan berkenaan juga bagi memastikan agenda pembangunan, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sarawak terus diberikan perhatian.
Selain itu, PKR Sarawak menyatakan komitmen untuk terus menjunjung prinsip demokrasi, agenda reformasi dan keadilan sosial, selain mengutamakan kesejahteraan rakyat, serta mengekalkan persefahaman politik yang telah dibina bersama GPS.
Sehubungan itu, MPN PKR Sarawak mengarahkan seluruh jentera dan pimpinan parti pada semua peringkat di negeri ini supaya mematuhi serta menghormati ketetapan berkenaan.
Mereka juga diminta terus menjaga hubungan baik dengan rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya GPS.
“PKR Sarawak akan terus melaksanakan tanggungjawab serta khidmat bakti kepada rakyat Sarawak tanpa mengabaikan peranannya di negeri ini,” menurut kenyataan bersama itu lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember depan sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13, manakala hari penamaan calon pada Sabtu ini dan pengundian awal 8 Disember.
© New Straits Times Press (M) Bhd