redzuan.muharam@hmetro.com.my
Baca juga: Pochettino yakin United mampu bangkit
Kajang: “Sebagai anak, saya rindu ummi yang dulu kerana sekarang nampak ummi sudah lain sangat.
“Tapi, selagi terdaya, saya dan adik-beradik lain akan menjaga ummi dengan sebaiknya,” kata Tuhfah Nazira Md Tarmidi.
Tuhfah Nazira, 27, kini menjaga ibu, Norlida Abu Hassan, 56, yang terlantar selepas diserang angin ahmar selain bekerja sambilan sebagai kru acara jika ada kelapangan.
Kisah Tuhfah Nazira mendapat perhatian selepas dia berkongsi video menjaga ibu di TikTok sejak September lalu.
Menerusi ruangan komen, ramai mendoakan kesihatan, malah masih mengenali ibu Tuhfah Nazira yang pernah tular selepas berpisah dengan anak angkat, Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek atau lebih mesra dipanggil Amir.
Perpisahan itu berlaku selepas Amir diserahkan kepada keluarga kandung dan lebih menyedihkan apabila kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia tiga bulan kemudian.
Bercerita lanjut, Tuhfah Nazira berkata, ibunya masih boleh bergerak, namun lumpuh sebelah kiri badan hingga terlantar selepas diserang angin ahmar buat kali kelima, Jun lalu.
“Beberapa bulan selepas Amir meninggal dunia, ummi diserang angin ahmar, tapi sebelum itu sudah ada diabetes dan kemurungan.
“Ummi terlalu sedih dengan pemergian Amir hingga sering menangis, malah setiap kali makan makanan kegemaran Amir seperti laksa, ummi akan cakap Amir mesti suka.
“Nampak ummi rindukan Amir dan lama-kelamaan, kesihatannya merosot hingga jadi seperti sekarang,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kajang 2, di sini, semalam.
Menurutnya, ibunya juga cepat tersentuh sebelum ini setiap kali mendengar nama Amir.
“Bila sebut nama Amir, ummi boleh menangis, mungkin kerana teringat kenangan lalu dan rindukan Amir.
“Tapi, sekarang tak lagi, mungkin kerana ummi tak berapa ingat dan ke arah demensia (hilang ingatan).
“Sebak juga bila lihat keadaan ummi sekarang kerana hanya boleh minum susu menggunakan saluran tiub pada hidung dan berat badannya juga susut,” katanya.
Sebagai anak, Tuhfah Nazira berharap dan sentiasa berdoa semoga ibunya diberi kekuatan untuk menanggung derita selain kembali sihat.
“Kami sekeluarga hanya mampu berikhtiar membantu dan menjaga ummi, namun Allah SWT penentu segalanya.
“Walau macam mana sekalipun keadaan ummi, saya reda dan cukup melihatnya ada di depan mata.
“Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan ummi dan masih ingatkannya,” katanya yang turut mendapat sokongan bapa, Md Tarmidi Yaacob, 58, selain adik-beradik lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd