LATEST

Anwar beri penghormatan terakhir kepada Allahyarham A Samad Said

Anwar beri penghormatan terakhir kepada Allahyarham A Samad Said

am@hmetro.com.my

Baca juga: Pindaan pengasingan peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya dalam proses dimuktamadkan – Azalina

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir ke Masjid Saidina Abu Bakar As-Saddiq, Bangsar, di sini, malam ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri Dr Abdul Samad Muhammad Said atau dikenali sebagai A Samad Said.

Perdana Menteri tiba di masjid itu pada jam 10.45 malam, sebelum bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham.

Anwar bersama ahli keluarga Allahyarham dan pimpinan masjid kemudian turut berkesempatan membacakan Yassin sebelum menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir.

Terdahulu, Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkongsi rasa hiba dan sayu sebaik menerima khabar pemergian A Samad Said.

“Lewat ‘Salina’ (1961), Pak Samad mendekatkan kita kepada insan yang sering tersisih, agar kita turut menggarap duka dan memperjuang harapan mereka.

“Kasihnya kepada rakyat akan terus hidup dalam karya-karyanya, juga dalam kecekalannya membela bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan.

“Azizah dan saya menzahirkan rahmat ke atas ruh Pak Samad dan mengurniakan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan. Mendoakan segala dosanya dikurniakan keampunan dan ruhnya diberi tempat istimewa disisi-Nya,” kata Perdana Menteri.

A Samad Said, 91, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 6.05 petang tadi.

Berita itu disahkan oleh anak keduanya, Helmy Abdul Samad menerusi perkongsian di Threads.

Dalam perkongsiannya, beliau menulis ringkas, ‘Innalillahi wainnailaihi rojiun’.

A Samad Said sebelum ini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dimasukkan ke wad petang semalam akibat sakit tua selain menghidap diabetes dan jangkitan paru-paru.

Allahyarham A Samad Said, yang dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka pada 9 April 1935, dinobatkan sebagai Sasterawan Negara keempat pada tahun 1985 atas sumbangan cemerlangnya dalam perkembangan kesusasteraan tanah air.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news